PERJANJIAN DAMAI HATYAI: PENGAKHIRAN TRAGEDI SEJARAH YANG DIPAKSAKAN IMPERIALIS ZAMAN PERANG DINGIN
2 Disember 2019 ialah ulangtahun ke-30 pemeteraian
Perjanjian Damai Hatyai 1989 yang menandakan pengakhiran satu konflik
bersenjata yang berlarutan untuk lebih 40 tahun di negara kita.
Perjanjian Damai Hatyai ditandatangani pada 2 Disember 1989,
antara Parti Komunis Malaya (PKM) dengan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan
Thailand. Upacara penandatanganan perjanjian yang penuh bersejarah ini diadakan
di Hotel Le Garden, Hatyai. Perjanjian Damai Hatyai tercapai hasil daripada
siri rundingan antara tiga pihak secara samarata dan saling hormat-menghormati
dengan hati terbuka dan hasrat ikhlas untuk mewujudkan perdamaian yang
berkekalan untuk semua.
Wakil Kerajaan Malaysia yang hadir dalam penandatanganan
Perjanjian Damai Hatyai ialah Wan Sidek Wan Abdul Rahman selaku Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri pada masa itu, Mohd. Hanif Omar selaku Ketua Polis
Negara pada masa itu, dan Jeneral Hashim Mohd Ali selaku Ketua Turus Angkatan
Tentera Malaysia pada masa itu. PKM pula diwakili oleh Abdullah C.D. selaku
Pengerusi PKM, Chin Peng selaku Setiausaha Aung PKM dan Rashid Maidin selaku
Ahli Jawatankuasa Pusat PKM.
Selepas termeterainya Perjanjian Damai Hatyai, PKM
menamatkan perjuangan bersenjatanya seperti dijanjikannya. Lebih 1,000 orang
pejuang PKM yang berada di kawasan hutan di sempadan Malaysia-Thailand keluar
dari hutan dan memulakan hidup baru selepas itu. 338 orang bekas anggota PKM
telah dibenarkan untuk pulang dan menetap di Malaysia. Namun, akibat daripada
manipulasi sesentengah pemimpin politik yang berpandangan sempit dan
berkepentingan sendiri, pemimpin utama PKM Chin Peng tidak dibenarkan untuk
pulang ke Malaysia sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 2013, malah
membawa masuk abunya pun boleh menjadi satu isu, sesuatu yang bercanggah dengan
apa yang dipersetujui dalam Perjanjian Damai.
Pemberontakan PKM dan tragedi sejarah yang dipaksakan oleh
penjajah
PKM ialah salah satu kuasa politik di negara kita yang
pernah memainkan peranan yang penting dalam menentang kuasa penjajah imperialis
di tanahair kita, sama ada kuasa penjajah Jepun atau British.
PKM yang ditubuhkan pada tahun 1930, terlibat dalam perang
menentang pendudukan tentera Empayar Jepun pada tahun 1941-1945, melancarkan
pemberontakan bersenjata pada tahun 1948 untuk menentang kuasa penjajah
British. Pemberontakan PKM untuk melawan British merupakan sebahagian daripada
gelombang perjuangan pembebasan nasional yang melanda negara-negara benua
Afrika-Asia pasca Perang Dunia II, yang bertujuan untuk membebaskan
negara-negara Dunia Ketiga yang dijajah daripada cengkaman kuasa imperialis.
Pihak British mengiytiharkan Darurat yang berlanjutan untuk
12 tahun (1948-1960). Sepanjang 12 tahun peperangan, pihak penjajah British
telah mengerahkan tentera dari banyak tempat di Komanwel British untuk
mematahkan pemberontakan PKM, termasuk pasukan tentera dari Australia, New
Zealand, Fiji, Rhodesia dan Kenya. Tentera Udara British melakukan serangan sebanyak
25,000 kali di Tanah Melayu, menjatuhkan puluhan ribu tan bom di hutan kita,
menembak lebih 100,000 roket pelancar. Lebih 1,300 orang polis dan 500 orang
tentera terkorban dan perang 12 tahun tersebut, lebih 6,000 orang pejuang PKM
gugur dalam pertempuran, sementara ribuan orang awam turut terkorban. Selepas
Darurat berakhir pada tahun 1960, konflik bersenjata rendah masih berterusan
dalam intensiti rendah.
Pada tahun 1955, Rundingan Damai Baling diadakan tetapi
digagalkan kerana pihak British enggan membenarkan PKM untuk melibatkan diri
dalam proses politik berparlimen. Kegagalan Rundingan Damai Baling 1955 telah
menyebabkan konflik bersenjata diteruskan selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah
Melayu pada tahun 1957. Negara kita perlu melalui kemelut perang saudara selama
32 tahun lagi akibat percaturan kekuasaan imperialis. Ramai orang daripada
kedua-dua pihak, sama ada PKM ataupun Kerajaan, telah terkorban kerana konflik
ini. Ini adalah tragedi sejarah yang dipaksakan oleh kuasa imperialis ke atas
tanahair kita ketika Zaman Perang Dingin.
“Produk” Perang Dingin yang sudah melepasi tarik luput
Sepanjang Darurat 1948-1960 dan konflik yang melibatkan PKM,
kerajaan penjajah British dan kerajaan proksinya selepas kemerdekaan Malaya,
telah menyamakan komunis dengan pengganas dalam propaganda perangnya.
Propaganda ini juga dilakukan dalam konteks Perang Dingin yang menyaksikan
pertembungan dua blok kuasa besar, antara Blok Barat yang diketuai Amerika
Syarikat yang menggelar dirinya “Dunia Bebas” dengan Blok Timur yang diterajui
Kesatuan Soviet yang menggelar dirinya membawa “komunisme”. Akibat daripada
pengaruh propaganda Perang Dingin inilah ramai rakyat pada hari ini sudah tidak
tahu apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh komunis dan hanya terdedah kepada
propaganda pro-penjajah yang bertujuan untuk melindungi kepentingan kuasa
imperialis di rantau ini sejak berakhirnya Perang Dunia II. Malah, sehingga
hari ini masih adanya pihak tertentu yang cuba menggunakan label “komunis”
untuk menyerang musuh politik mereka.
Namun, jika kita fahami sejarah dengan lebih mendalam, kita
patut menyedari bahawa keganasan meragut nyawa dalam konflik bersenjata di
negara kita ketika perang saudara (pada skala yang kurang intensif pada
kebanyakan masa) pasca kemerdekaan, adalah satu produk Perang Dingin. Kegagalan
Rundingan Baling 1955 adalah sesuatu yang disengajakan oleh pihak penjajah
British untuk menghalang satu kuasa politik anti-imperialis yang radikal
daripada memasuki arena politik pilihanraya di Persekutuan Tanah Melayu dalam
konteks percaturan kuasa besar Zaman Perang Dingin dan melindungi pengaruh
kuasa Barat di rantau Asia Tenggara. Hasrat PKM untuk mewujudkan proses perdamaian
selepas kegagalan Rundingan Baling juga tidak dihiraukan oleh pihak berkuasa
hanya kerana politik Perang Dingin yang mewujudkan permusuhan yang berterusan
ini sehingga tahun 1989, iaitu ketika berakhirnya Perang Dingin.
Malah, kuasa politik berhaluan kiri yang lebih sederhana
atau tidak mengambil pendekatan perjuangan senjata dalam sejarah tanahair kita,
seperti Parti Buruh dan Parti Rakyat yang bergabung dalam Barisan Sosial, turut
ditindas secara teruk sehingga ramai ditahan tanpa bicara dan diseksa di bawah
akta zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang hanya dimansuhkan
pada tahun 2012.
Hormati sejarah, hargai kedamaian
Perjanjian Damai Hatyai mempunyai makna yang signifikan
untuk negara kita, kerana ia telah menutup lembaran sejarah abad ke-20 untuk
negara kita dan menamatkan satu keadaan permusuhan hasil tinggalan penjajahan
British dan Perang Dingin yang berlarutan untuk berpuluh tahun. Penamatan
keadaan permusuhan ini bermakna bahawa tiada rakyat perlu mengorbankan nyawa
lagi, dan menyediakan asas kepada keamanan yang berkekalan.
Pemimpin kerajaan negara kita pada 30 tahun dahulu, termasuk
pimpinan tertinggi pihak polis dan angkatan tentera pada masa itu, secara
bijaksana telah menyumbang kepada Perjanjian Damai Hatyai dengan hasrat murni
untuk menamatkan satu konflik yang menghantui negara kita dan merealisasikan
keamanan yang berkekalan . Namun, masih adanya sesetengah pihak, khususnya
politikus-politikus yang tidak pernah penat mempermainkan politik perkauman,
terus mempergunakan “ancaman komunis” dengan motif kepentingan politik sendiri.
Ini adalah sesuatu yang melanggar semangat mencintai keamanan dan keharmonian
yang ditunjukkan dalam Perjanjian Damai Hatyai.
Perang Dingin abad ke-20 sudah berakhir sejak 30 tahun
dahulu, begitu juga dengan konflik yang melibatkan PKM di Malaysia yang sudah
mencapai solusi perdamaian yang dimeteraikan dalam satu perjanjian penuh dengan
hasrat murni untuk mewujudkan keamanan di tanahair kita. Oleh itu, adalah tidak
masuk akal untuk kita masih terperangkap dalam minda zaman Perang Dingin yang
sudah melepasi tarikh luputnya pada abad ke-21 ini.
Mempolitikkan tragedi sejarah yang dipaksakan oleh kuasa
imperialis ke atas rakyat tanahair kita, tidak akan membantu dalam menyembuhkan
luka sejarah kita, termasuk saudara-mara untuk mereka daripada mana-mana pihak
yang terkorban tanpa mengira pendirian politik mereka semasa konflik, malah
juga tidak akan membawa apa-apa makna kepada kemajuan masyarakat. Menjelang
ulangtahun ke-30 ini, adalah penting untuk kita menghormati sejarah, menghargai
kedamaian yang dicapai, dan terus maju ke depan dengan pandangan dunia yang
progresif.
Dipetik dari:
https://sosialis.net/2019/12/01/perjanjian-damai-hatyai-1989-pengakhiran-tragedi-sejarah-yang-dipaksakan-imperialis-zaman-perang-dingin/?fbclid=IwAR2AWlqBy1OWJOGHgdVznrnkW86-r2x571qIrh7RCEUuC3vr_37lYxGreWQ
Ulasan