PENGATURAN PENTADBIRAN DI ANTARA KERAJAAN MALAYSIA DAN PARTI KOMUNIS MALAYA SELARAS DENGAN PERSETUJUAN MENAMATKAN PERMUSUHAN
Dalam pusingan kelima atau yang terakhir, dihadiri sendiri
oleh Chen Ping. Persidangan telah mengeluarkan 2 buah persetujuan bersama
secara berasingan iaitu persetujuan antara PKM dengan Kerajaan Malaysia dan persetujuan antara PKM dengan
Kerajaan Diraja Thailand. Sebuah keputusan bersama 3 pihak juga telah
dikeluarkan dan sebuah jawatankuasa kerja 3 pihak telah dibentuk untuk
menguruskan masalah berkenaan pelaksanaan konkrit perjanjian bersama.
Persetujuan antara PKM dengan Kerajaan Malaysia sebagai berikut:
PENGATURAN PENTADBIRAN DI ANTARA KERAJAAN MALAYSIA
DAN
PARTI KOMUNIS MALAYA SELARAS DENGAN PERSETUJUAN MENAMATKAN PERMUSUHAN
Kerajaan
Malaysia, selepas ini disebut sebagai Kerajaan dan Parti Komunis Malaya,
selepas ini disebut sebagai PKM, dengan ini bersetuju dengan Pengaturan Pentadbiran
di bawah ini untuk melaksanakan persetujuan bersama yang ditandatangani pada 2
Disember 1989 di Hadyai, Thailand bagi menamatkan semua permusuhan.
PERKARA 1 - PENAMATAN AKTIVITI-AKTIVITI BERSENJATA
1.1 Kerajaan dan
PKM akan menamatkan semua aktiviti bersenjata dengan ditandatanganinya
Persetujuan ini.
1.2 Kenyataan-Kenyataan
Akhbar
Semua kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh mana-mana satu
pihak selepas ini haruslah dibuat dengan semangat persetujuan dan tidak harus
mengandungi sebarang istilah memfitnah seperti "penyerahan diri
beramai-ramai" dan "kapitulasi" (pengkhianatan/serah diri).
PERKARA 2 - PEMBUBARAN PASUKAN-PASUKAN BERSENJATA
2.1 Pengumuman
Pembubaran
PKM akan membubarkan semua pasukan bersenjatanya, khasnya
Tentera Rakyat Malaya (TRM) di dalam Malaysia
dan Thailand
dan akan mengumumkan pembubaran tersebut
tidak melebihi dua setengah bulan daripada tarikh Persetujuan ditandatangani.
2.2 Senarai Nama
PKM akan menyerahkan kepada pihak berkuasa Malaysia satu senarai nama mengandungi
butir-butir peribadi anggota-anggotanya dan anggota-anggota pasukan
bersenjatanya yang dibubarkan, yang
memutuskan untuk bermastautin di Malaysia,
bagi tujuan verifikasi (pemeriksaan untuk pengesahan) oleh pihak berkuasa Malaysia.
Senarai anggota tersebut harus diberikan kepada pihak berkuasa Malaysia dengan seberapa segera, dan walau macam
mana pun dalam tempoh tidak melebihi setahun dari tarikh Persetujuan
ditandatangani.
2.3 Pengunduran
Dari Hutan.
Semua anggota pasukan bersenjata yang dibubarkan pimpinan
PKM akan berkumpul di tempat-tempat yang ditetapkan lebih awal di Thailand
dalam tempoh tidak melebihi dua bulan dari tarikh Persetujuan ditandatangani.
2.4 Pemusnahan
Senjata Api, Amunisi dan Bahan-Bahan Letupan
2.4.1 Semua anggota
pasukan-pasukan bersenjata yang dibubarkan akan memusnahkan senjata api,
amunisi dan bahan-bahan letupan mereka dalam masa tidak melebihi 15 hari dari
tarikh ketibaan mereka di tempat-tempat di Thailand yang telah ditetapkan lebih
awal itu. Dan tidak melebihi dua setengah bulan dari tarikh Persetujuan
ditandatangani.
2.4.2 PKM harus
menyerahkan kepada pihak berkuasa Malaysia dan Thai satu senarai
mengandungi keterangan dan jumlah
senjata api, amunisi dan bahan letupan tersebut bagi tujuan verifikasi
(pemeriksaan untuk pengesahan) sebelum dimusnahkan. Pemusnahan tersebut
haruslah disaksikan oleh pihak berkuasa Malaysia
dan Thai.
2.4.3 Pemusnahan
tersebut tidak boleh diambil gambar
atau dirakam dengan video.
2.5 Mencari Dan
Memusnahkan Jerangkap Samar.
2.5.1 Anggota-anggota
pasukan bersenjata yang dibubarkan pimpinan PKM harus mencari dan memusnahkan semua jerangkap samar di dalam
Malaysia yang dapat ditemui,
dan akan disaksikan oleh pihak berkuasa Malaysia.
2.5.2 PKM harus
menyerahkan kepada pihak berkuasa Malaysia
semua pelan kasar yang ada tentang lokasi jerangkap-jerangkap samar di dalam Malaysia.
2.5.3 Mencari dan
memusnahkan jerangkap-jerangkap samar itu harus dimulakan seberapa segera dan
harus diselesaikan tanpa sebarang kelewatan yang tidak perlu.
2.5.4 Pihak berkuasa
Malaysia
akan memberi rawatan perubatan, elaun dan pampasan sekiranya berlaku kematian
atau kecederaan kepada anggota-anggota pasukan bersenjata yang dibubarkan
pimpinan PKM tersebut dalam masa mencari dan memusnahkan jerangkap-jerangkap
samar itu.
2.5.5 Semua
perbelanjaan yang dipakai dalam mencari dan memusnahkan jerangkap-jerangkap
samar di dalam Malaysia akan
ditanggung oleh pihak berkuasa Malaysia.
2.6 Radio Suara
Demokrasi Malaya
PKM dalam tempoh sebulan dari tarikh penandatanganan
Persetujuan harus menutup stesen radio Suara Demokrasi Malaya (SDM). Dalam
tempoh satu bulan ini, SDM tidak boleh menyiarkan sebarang pernyataan yang
memfitnah terhadap kerajaan.
PERKARA 3 -
BARANG-BARANG PERSENDIRIAN
Semua barang persendirian termasuk cenderamata (barang
kenang-kenangan), gambar dan lain-lain
keperluan harian anggota-anggota PKM dan anggota-anggota pasukan
bersenjata yang dibubarkan pimpinannya
itu, yang mana pemilikannya tidak menyalahi undang-undang di Malaysia, boleh
dipegang oleh mereka selepas diperiksa sebelum mereka memasuki Malaysia.
PERKARA 4 - PEMASTAUTINAN DI THAILAND DAN KEBEBASAN BERGERAK
4.1 Pihak
berkuasa Malaysia tidak
menentang anggota-anggota PKM dan anggota-anggota pasukan bersenjata yang
dibubarkan pimpinannya itu daripada bermastautin di Thailand.
4.2 Mereka yang
menetap di Thailand bebas
untuk memasuki Malaysia
melalui saluran-saluran halal bagi menziarahi saudara mara dan sahabat handai
mereka dan untuk bercuti.
4.3 Mereka yang
dibenarkan menetap di Malaysia
bebas untuk menziarahi saudara mara dan sahabat handai mereka di Thailand
melalui saluran-saluran halal.
4.4 Saudara mara
dan sahabat handai mereka yang menetap di Thailand
dan Malaysia
bebas untuk menziarahi mereka di mana-mana satu negeri tersebut melalui saluran
undang-undang.
PERKARA 5 - PEMASTAUTINAN DI MALAYSIA
5.1 Anggota-anggota
PKM dan anggota-anggota pasukan bersenjatanya yang dibubarkan akan dibenarkan
bermastautin di Malaysia
sekiranya mereka ingin berbuat demikian, setelah mereka tinggal di tempat yang telah ditetapkan di Thailand bagi
satu tempoh sekurang-kurangnya 6
bulan.
5.2 Anggota-anggota
PKM dan anggota-anggota pasukan bersenjatanya yang dibubarkan yang bukan
berketurunan Malaysia boleh dibenarkan bermastautin di Malaysia, sekiranya
mereka mahu, setelah mereka tinggal di tempat yang telah ditetapkan di Thailand
untuk satu tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.
5.3 Mereka yang
berhasrat menetap di Malaysia
mestilah memberitahu pihak berkuasa Malaysia akan hasrat mereka tidak
melebihi satu tahun dari tarikh Persetujuan ditandatangani.
5.4 Berhubung
dengan perkara 5.1 dan 5.2, PKM harus menyediakan butir-butir yang perlu kepada
pihak berkuasa Malaysia
untuk diproses dan diversifikasi (diperiksa untuk pengesahan). Dalam hubungan
ini, kerajaan akan mengirim pegawai-pegawai
bersangkutan untuk mengurus kes-kes ini di Thailand.
5.5 Mereka yang
ingin menetap di Malaysia
akan dikategorikan sebagai berikut:
5.5.1 Warganegara
Malaysia
5.5.2 Suami/isteri
dan anak-anak bukan warganegara daripada warganegara Malaysia dan
5.5.3 Orang asing
5.6 Mereka yang
dibenarkan menetap di Malaysia
akan diberikan dokumen-dokumen pengenalan sebaik saja mereka memasuki Malaysia
sebelum meneruskan perjalanan ke tempat permastautinan masing-masing menurut pilihan mereka.
5.7 Suami/isteri
dan anak-anak bukan warganegara daripada mereka yang berketurunan Malaysia akan dibenarkan menetap di Malaysia menurut undang-undang Malaysia
sekiranya mereka mahu.
5.8 Mereka yang
telah bermastautin menurut pilihan mereka di Malaysia
harus memberitahu kepada pihak berkuasa Malaysia akan alamat semasa mereka
serta akan perubahan-perubahan alamat selanjutnya untuk memudahkan pembayaran
bantuan kewangan.
5.9 Mereka yang
dibenarkan menetap di Malaysia
akan dibawa masuk ke dalam negeri dalam jumlah kecil dan sebarang pemeriksaan
yang akan dijalankan haruslah dengan
cara yang tidak akan memberi malu.
5.10 Kemasukan
mereka ke dalam Malaysia
tidak akan diberi sebarang publisiti.
PERKARA 6 - KEPERLUAN UNDANG-UNDANG
6.1 Taat Setia
Kepada Yang Di-Pertuan Agung Dan Negara
Anggota-anggota PKM dan anggota-anggota pasukan bersenjata
yang dibubarkan pimpinannya yang telah pulang untuk menetap di Malaysia, harus taat setia kepada Yang
di-Pertuan Agung dan negara dan harus mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan
undang-undang Malaysia.
6.2 Tidak Ada
Tahanan, Soal Siasat Atau Dakwaan.
6.2.1 Kerajaan tidak
akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960 ataupun mana-mana
undang-undang lainnya terhadap anggota PKM dan anggota-anggota pasukan
bersenjatanya yang dibubarkan, yang telah pulang untuk menetap di Malaysia,
kerana aktiviti-aktiviti lampau mereka yang berkait dengan PKM.
6.2.2 Anggota-anggota
PKM dan anggota-anggota pasukan bersenjatanya yang dibubarkan akan tertakluk di
bawah undang-undang Malaysia
bagi sebarang aktiviti haram yang mereka
lakukan pada masa hadapan.
6.3 Kewarganegaraan
dan Kad Pengenalan Pendaftaran Kebangsaan (NRIC).
6.3.1 Mereka yang
dulunya mempunyai NRIC biru dan merah serta sijil kewarganegaraan sebelum
mereka memasuki PKM atau pasukan bersenjatanya boleh terus menggunakannya
sebagai dokumen-dokumen yang sah. Sebarang dokumen demikian yang telah hilang
atau rosak akan digantikan dengan segera setelah diversifikasi (diperiksa untuk pengesahan).
6.3.2 Suami/isteri
dan anak-anak bukan warganegara kepada mereka yang berketurunan Malaysia yang telah menetap di Malaysia akan
diberikan NRIC merah. Mereka boleh
memohon untuk mendapat kewarganegaraan
selepas dua tahun menetap secara terus-menerus di Malaysia menurut
undang-undang Malaysia.
6.3.3 Mereka yang
terdiri daripada orang asing dan mereka yang kewarganegaraannya dibatalkan akan
diberikan NRIC merah sekiranya mereka dibenarkan menetap di Malaysia.
Mereka selanjutnya boleh memohon untuk
mendapat kewarganegaraan menurut undang-undang Malaysia.
6.3.4 Mereka yang
berketurunan Malaysia
dan menyertai PKM dan pasukan-pasukan
bersenjatanya sebelum pelaksanaan Pendaftaran Kebangsaan, akan diberikan NRIC
Merah sekiranya mereka dibenarkan menetap di Malaysia. Mereka selanjutnya
boleh memohon untuk mendapatkan
kewarganegaraan menurut undang-undang Malaysia.
6.4 Keistimewaan
Dan Kewajipan.
6.4.1 Mereka yang
terdiri daripada warganegara Malaysia
dan telah menetap di Malaysia
akan menikmati keistimewaan-keistimewaan yang sama seperti lain-lain
warganegara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.
6.4.2 Mereka yang
bukan berketurunan Malaysia
dan bukan warganegara yang telah menetap di Malaysia
akan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.
PERKARA 7 - PENYERTAAN DALAM AKTIVITI-AKTIVITI POLITIK
7.1 Anggota-anggota
PKM dan anggota-anggota pasukan bersenjatanya yang dibubarkan yang terdiri
daripada warganegara Malaysia
bebas untuk mengambil bahagian dalam
aktiviti-aktiviti politik termasuk pembentukan sebuah atau beberapa buah parti
politik menurut ketentuan-ketentuan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.
7.2 Pihak
berkuasa Malaysia
akan dengan cepat menimbangkan sebarang permohonan yang dikemukakan oleh mereka untuk pendaftaran
sebuah parti politik menurut proses undang-undang yang sepatutnya. Setelah pendaftaran parti
tersebut akan diberikan taraf yang sama
seperti mana-mana parti politik lainnya yang didaftarkan secara undang-undang.
7.3 Mereka yang
terdiri daripada warganegara Malaysia
akan dibenarkan mendaftarkan diri sebagai pengundi.
PERKARA 8 - BANTUAN
8.1 Pihak
berkuasa Malaysia akan
memberi bantuan yang munasabah kepada anggota-anggota PKM dan anggota-anggota
pasukan bersenjatanya yang dibubarkan yang menetap di Malaysia.
Segala bantuan kewangan yang diberikan kepada mereka akan diurus dan
ditadbirkan oleh pihak berkuasa Malaysia.
8.2 Bantuan
Kewangan
8.2.1 Setelah
memasuki Malaysia,
jumlah pertama sebanyak $3,000 ringgit akan diberikan kepada setiap orang
daripada mereka sebelum mereka meneruskan ke tempat permastautinan pilihan
mereka.
8.2.2 Subsidi
sebanyak $300 ringgit sebulan akan diberikan kepada setiap orang daripada
mereka selama tempoh 36 bulan berkuat kuasa dari tarikh mereka memasuki Malaysia.
8.2.3 Jumlah
terakhir sebanyak $5,000 ringgit akan diberikan kepada setiap orang daripada
mereka setelah tamat tempoh 36 bulan.
8.3 Pekerjaan
Pihak berkuasa Malaysia di mana mungkin akan membantu anggota-anggota PKM dan anggota
pasukan bersenjatanya yang dibubarkan untuk mencari pekerjaan.
8.4 Aktiviti-aktiviti
Ekonomi.
Anggota-anggota PKM dan anggota-anggota pasukan
bersenjatanya yang dibubarkan bebas untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti
ekonomi dalam negeri. Pihak berkuasa Malaysia tidak menentang mereka
membawa masuk sebanyak mana wang untuk mendirikan perusahaan bisnes, selagi
modal dan keuntungan yang diperolehi
daripadanya tidak digunakan untuk tujuan-tujuan yang melanggar undang-undang.
8.5 Bantuan
Kepada Mereka Yang Tiada Rumah
Anggota-anggota PKM dan anggota-anggota pasukan
bersenjatanya yang dibubarkan yang pulang ke Malaysia dan tidak mempunyai rumah
sendiri akan disediakan tempat tinggal yang dilengkapi perabot dan alat-alat
dalam rumah secara asas bagi satu tempoh tidak melebihi tiga tahun dari tarikh
mereka pulang.
8.6 Bantuan
Kepada Yang Tua Dan Cacat
Pihak berkuasa Malaysia akan memberikan bantuan yang
munasabah dalam bentuk tempat tinggal dan rawatan perubatan kepada
anggota-anggota PKM dan anggota-anggota pasukan bersenjatanya yang dibubarkan
yang terdiri daripada orang-orang tua dan orang-orang yang cacat yang pulang ke
Malaysia, untuk satu tempoh tidak melebihi tiga tahun dari tarikh mereka
pulang.
PERKARA 9 - JAWATANKUASA PENGHUBUNG
Sebuah Jawatankuasa Penghubung terdiri daripada wakil-wakil
Gerup Kerja kedua-dua pihak akan didirikan di Thailand dengan keizinan dan
kerjasama pihak berkuasa Thai, untuk berbincang bagi menyelesaikan sebarang
masalah yang mungkin timbul dalam pelaksanaan pengaturan pentadbiran ini.
PERKARA 10 - PENANDATANGANAN PERSETUJUAN DAN PENGATURAN
PENTADBIRAN
10.1 Persetujuan
dan Pengaturan Pentadbiran ini akan ditandatangani secara berasingan di tempat
yang ditetapkan terlebih dahulu yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
10.2 Persetujuan
ini akan ditandatangani oleh kedua-dua pihak di depan umum dan semangat
persetujuan ini akan diumumkan dalam satu Pengumuman Bersama segera selepas
penandatanganan.
10.3 Pengaturan
Pentadbiran juga akan ditandatangani oleh kedua-dua pihak tapi ia tidak akan
diumumkan.
Ditandatangani pada 2 Disember 1989, Hadyai, Thailand
Penandatanganan Perjanjian Damai
Pada 2 Disember 1989, upacara penandatanganan persetujuan damai diadakan di Hotel Lee Gardens,
Hadyai.
Perwakilan PKM terdiri dari:
Chen Ping Setiausaha
Agung PKM
Abdullah CD Pengerusi
PKM
Rashid Maidin Anggota
JKP PKM
Wu Yi Sek Anggota
Politbiro JKP PKM
Zainun Anggota
Politbiro JKP PKM
Suriani Anggota
JKP PKM
Huang Seng
Iskandar
Ng Hui Ngo
Wakil-wakil yang menurunkan tandatangan di atas draf
perjanjian bersama ialah:
PKM: Chen
Ping (Setiausaha Agung PKM), Abdullah CD (Pengerusi PKM) dan Rashid Maidin
(Anggota JKP PKM).
Malaysia: Datuk
Wan Sidik Wan Abdul Rahman. Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Malaysia.
Thailand: Tan Sri Jeneral Chaovalit Yong
Chaiyuth, Panglima Tentera Darat merangkap Pemangku Panglima Angkatan Tentera
Kerajaan Diraja Thailand.
Ulasan