PAS: PARTI KOMUNIS BANTU CAPAI KEMERDEKAAN
Di
bawah ini kami siarkan terjemahan sebuah rencana dalam Bahasa Inggeris yang
diterbitkan oleh Malaysiakini pada 29 Ogos, 2006 mengenai sumbangan PKM dalam
perjuangan kemerdekaan tanahair.
PAS: Parti Komunis Bantu Capai
Kemerdekaan
Sejarah tidak boleh menafikan hakikat bahawa
Parti Komunis Malaya (PKM) berperanan dalam perjuangan kemerdekaan negeri ini,
demikian kata seorang think-tank PAS.
Dalam sebuah artikel terbitan
Harakahdaily.net pada hari Ahad, pusat penyelidikan PAS itu berkata, semenjak
tertubuhnya PKM pada bulan Mei 1930, parti itu sangat aktif dalam kempen untuk
kemerdekaan tanahair.
“Dalam zaman pemerintahan Jepun, Chin Peng
(Setiausaha Agung PKM) dan komrad-komradnya adalah antara golongan paling
gagah-berani yang melawan Jepun.
“Mereka bergerak dalam hutan, (tidur)
berlantaikan tanah dan beratapkan langit demi melawan Jepun dan mencapai
kemerdekaan yang sejati. Adilkah sumbangan mereka itu dinafikan sekarang?”
Pusat tersebut berkata, perjuangan PKM tidak
selesai dengan Jepun, mereka juga (terus) melancarkan perjuangan bersenjata
menentang British bagi merebut kemerdekaan.
Sungguhpun PKM berhasrat hendak mendirikan
negara komunis – tetapi ditolak oleh orang Melayu dan Islam – adalah tidak
betul menafikan sumbangan parti itu terhadap perjuangan kemerdekaan negara,
katanya.
Justeru itu, pusat tersebut merasa amat
penting sekali semua fakta sejarah berkaitan dengan kemerdekaan tidak
tertinggal.
Perjuangan bukan saja terbatas kepada mereka
yang di meja perundingan, tetapi termasuk juga dari golongan yang sanggup
berkorban nyawa berjuang demi kemerdekaan, tambahnya.
“Sebelum Tunku Abdul Rahman melaungkan
‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957, tuntutan itu sudah lama bergema. Banyak peristiwa
bersejarah telah berlaku bukan saja oleh Umno dan Perikatan.
“PKM dan parti-parti nasionalis Melayu telah
mengangkat senjata menentang British. Abdullah CD, Rashid Mydin, Shamsiah Fakeh
dan Musa Ahmad adalah di kalangan pemimpin-pemimpin yang berjuang menuntut
kemerdekaan.”
PKM meletakkan senjata berikutan perjanjian
damai yang ditandatanginya dengan kerajaan Malaysia dan Thailand pada 2
Disember, 1989 di Haadyai selatan Thailand.
Chin Peng, yang berada di Thailand, kini
terlibat dalam satu perjuangan legal dengan kerajaan Malaysia atas tuntutannya
untuk pulang ke tanahair.
Pusat penyelidikan PAS itu juga berkata
bahawa sejarah telah membuktikan wujudnya parti-parti nasionalis Melayu lebih
awal daripada Umno dalam perjuangan kemerdekaan.
Parti-parti tersebut adalah Persatuan
Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita
Sedar (Awas), Baris Tani Se-Malaya (Batas) dan Majlis Tertinggi Se-Malaya (Mata).
Perayaan Merdeka akan lebih bererti apabila
rakyat sudah mengetahui dan menerima gambaran sebenar tentang perjuangan
kemerdekaan kita, katanya lagi.
Apabila ini berlaku, kerajaan tidak perlu
berulang-ulang kali mengingatkan rakyat tentang perayaan Merdeka, kerana “ianya
(perayaan itu) sudah menjadi milik bersama semua rakyat Malaysia”.
artikel asal: PAS: Communist party helped
secure Merdeka (Malaysiakini)
Dicatat oleh M.A. di Sabtu, Julai 04,
2009
Ulasan