HILANGNYA SEBUTIR BINTANG DI ANGKASA NUSANTARA
oleh Datok Abdul Rahman Embong
(dipetik dari http://www.malaysiakini.com/news/338005)
(dipetik dari http://www.malaysiakini.com/news/338005)
Berita pemergian secara
mengejut Allahyarham Said Zahari - seorang patriot ulung, pejuang kebebasan dan
ikon kewartawanan di Malaysia dan Singapura bahkan di rantau Nusantara - telah
tersebar luas di dalam dan luar negara.
Walaupun
tersentak dengan berita sedih ini, ahli-ahli keluarga, kawan-kawan seperjuangan
dan para peminat Pak Said sudah mula menerima hakikat bahawa beliau sudah tidak
ada lagi dalam kalangan kita semua.
Pak
Said telah meninggal dunia semasa tidur di rumah kediaman anaknya Rismawati di
Puncak Alam, Selangor pada kira-kira 12.30 tengahari 12 April 2016 dalam usia
88 tahun.
Said
Zahari dilahirkan dalam sebuah keluarga Melayu keturunan Jawa di Kampung Kebun
Bunga, Singapura pada 18 Mei 1928.
Beliau
mendapat pendidikan Sekolah Melayu di Singapura sebelum Perang Dunia Ke-2, dan
meneruskan pengajian untuk memperoleh sijil Senior Cambridge selepas pendudukan
Jepun, sambil dalam senyap-senyap mengikuti gerakan perjuangan kemerdekaan
menentang penjajah British.
Beliau
kemudian menceburi bidang kewartawanan dengan menyertai akhbar Utusan Melayu
pada 1951 yang ketika itu gigih meniup api perjuangan kemerdekaan bukan sahaja
di Malaya tetapi juga di tanah jajahan yang lain.
Oleh
sebab bakat dan ketokohannya, beliau diberi kepercayaan untuk memimpin akhbar
itu selaku Ketua Pengarang pada 1959.
Pada
1961, apabila pimpinan Umno dan pemerintah Malaya yang tidak senang dengan
kelantangan Utusan telah berusaha mengambilalih pemilikan akhbar tersebut dan
mengubah polisinya, Said memimpin pemogokan bersejarah Utusan selama tiga bulan
menentang tindakan Umno tersebut demi membela kebebasan akhbar.
Pahit getir di penjara
Cabaran
demi cabaran menimpa hidup beliau sekeluarga.
Pada
2 Februari 1963, beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri oleh
rejim Lee Kuan Yew Singapura selama 17 tahun, mengakibatkan anak-anaknya
dibesarkan tanpa bapa di sisi mereka.
Namun
berkat kegigihan Puan Salamah, isteri Pak Said, bukan sahaja anak-anak itu
mendewasa dengan baik bahkan Pak Said juga dapat memperteguhkan azam dan
menundukkan segala pahit getir di penjara.
Beliau
antara tahanan politik paling lama merengkok dalam tahanan sama ada di Malaysia
mahupun Singapura serta dianggap sebagai ikon nurani suara kebebasan dan
keadilan oleh ramai angkatan lama dan juga angkatan baru.
Beberapa
tahun setelah keluar daripada tahanan, beliau berpindah dari Singapura ke
Malaysia untuk bersama-sama dengan anak-anaknya dan menyambung kehidupan dan
perjuangannya.
Seorang
wartawan dan penulis yang tajam pena dan daya imaginasinya, pelbagai kisah
hidup, perjuangan serta pemikiran beliau mengenai tanahair, perjuangan
anti-penjajah dan pembebasan umat manusia telah dirakamkan dengan baik dalam
tiga jilid memoir beliau, Meniti Lautan Gelora (2001), Dalam Ribuan Mimpi
Gelisah (2006), dan Suara Bicara (2015).
Pemergian
Salamah, rakan karib seperjuangan yang juga isteri beliau, secara tiba-tiba
kerana serangan sakit jantung pada Disember 2004, sebelum Pak Said sempat
menyiapkan jilid kedua memoirnya telah memberikan pukulan berat kepada Pak
Said, tetapi beliau menerimanya dengan tabah. Pak Said tinggal bersama-sama
anak dan cucunya.
Dalam
tempoh ini, beliau terus menerus dikunjungi oleh kawan-kawan lama, para
wartawan dan juga aktivis-aktivis angkatan muda yang ingin menimba ilmu dan
pengalaman serta mendapat inspirasi daripada semangat juang beliau.
Perjuangan belum selesai
Beliau
sering muncul di pelbagai media melalui temuramah mengenai pelbagai isu dalam
dan luar negara khususnya mengenai kebebasan media dan juga sejarah perjuangan
melawan penjajahan.
Namun
dalam beberapa tahun kebelakangan ini semenjak beliau jatuh sakit dan semakin
uzur, memang orang ramai tidak banyak lagi mendengar berita Pak Said.
Kali
terakhir beliau muncul di khalayak ramai ialah pada 2 Ogos 2015 semasa
pelancaran jilid ketiga memoirnya, Suara Bicara: Fragmen Memoir Said Zahari di
Kuala Lumpur.
Dalam
dewan yang penuh sesak dengan para hadirin di Bangunan LLG itu, Pak Said yang
berkerusi roda menyampaikan ucapannya buat kali terakhir di hadapan umum.
Walaupun
nada suaranya tidak segagah seperti dahulu, gema pesannya tetap menusuk kalbu:
‘Hidup adalah perjuangan’.
Dua
tahun sebelum itu, sebuah esei beliau diterbitkan dalam buku koleksi khas
bersempena ulangtahun ke-50 penangkapan besar-besaran oleh rejim Lee Kuan Yew
di bawah Operation Cold Store.
Judul
eseinya, “How Could I Die, The Fight Is Not Over” yang membawa maksud ‘hidup
perlu diteruskan kerana perjuangan belum selesai’ mencerminkan semangat
juangnya yang gigih dan merupakan legasi yang diwariskan kepada kita semua
khususnya generasi baru.
Pak
Said sudah tidak ada lagi bersama kita tetapi jasa beliau tetap dikenang dan
disanjung.
Sebagai
tokoh wartawan yang berprinsip dan berani, beliau berdiri pada garis yang jelas
dan tegas.
Sekalipun
beliau tidak pernah dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara sungguhpun beliau
antara pejuang awal yang gigih membela kebebasan dan etika kewartawanan yang
murni melalui akhbar Utusan yang dipimpinnya, peranan dan sumbangan beliau
tetap mendapat pengiktirafan oleh pelbagai pihak di dalam dan luar.
Dalam
gelanggang politik, Pak Said diakui sebagai seorang patriot ulung, seorang
pejuang anti-kolonial untuk kemerdekaan dan kebebasan.
Beliau
juga pejuang perpaduan kaum serta lambang ikatan sejarah dan perpaduan rakyat
Malaysia dan Singapura.
Kita
tidak lupa satu keisimewaan Pak Said iaitu kemahirannya dari segi bahasa.
Selain
amat mahir dalam Bahasa Melayu dan Inggeris, beliau juga menguasai bahasa
Mandarin yang dipelajarinya daripada kawan-kawan semasa dalam tahanan sementara
beliau pula mengajar tahanan-tahanan lain khususnya kawan-kawan Tionghua bahasa
Melayu.
Alangkah
senang dan bahagia kita menyaksikan setiap kali beliau mengadakan Majlis Rumah
Terbuka Hari Raya, tetamunya pasti berbilang kaum.
Beliau
melayani semua tetamu itu dengan penuh ramah mesra dan kita sering mendengar
beliau berbicara dalam bahasa Mandarin dengan kawan-kawan Tionghua.
Ceria hingga akhir hayat
Pak
Said ialah seorang tokoh ulung dengan kegigihan yang amat luar biasa. Beliau teguh
tidak berganjak dalam tahanan sekalipun menghadapi pelbagai seksaan fizikal dan
mental dan nyawanya terancam.
Beliau
juga tidak tunduk kepada penyakit dan sentiasa bersikap ceria, suka berjenaka
dan optimis hingga ke akhir hayatnya.
Pak
Said pernah diserang angin ahmar pada Julai 1993, namun beliau bangkit semula
dengan gigih melawan penyakit sehingga sempat menerbitkan dua jilid memoirnya.
Walaupun
sekali lagi diserang angin ahmar pada Disember 2012 yang menyebabkan tangan
kanannya lumpuh, namun penyakit itu tidak dapat menundukkan semangat juangnya
yang tetap gigih dan beliau bertekad menyiapkan jilid ketiga memoirnya.
Kita
juga amat terkesan dengan sifat beliau sebagai seorang tokoh berjiwa besar.
Sebagai
pencerminan daripada jiwa besarnya, beliau tidak menyimpan sebarang dendam
peribadi terhadap mereka yang merampas kebebasannya.
Hakikat
ini jelas terpancar apabila berbicara dengannya dan juga tersurat dalam
memoirnya yang pertama, Meniti Lautan Gelora.
Apabila
mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, yang bertanggungjawab
menghumbankannya ke penjara meninggal dunia pada 23 Mac 2015 pada usia 91
tahun, reaksi Said begitu bersahaja.
Menurutnya,
isu beliau dengan Lee Kuan Yew bukan soal peribadi; ia mengenai dasar sebuah
rejim zalim yang membangun sebuah negara pulau menjadi sebuah negara maju
dengan membisukan dan menghapuskan hak asasi pihak lawan serta memecahbelahkan
keluarga para pejuang dan menghancurkan jalur hidup mereka.
Memeluk pertiwi
Said
Zahari berdiri sebaris dengan pejuang-pejuang kebebasan yang hebat, yang telah
mengorbankan masa muda mereka yang paling berharga dalam penjara dan
mengobarkan semangat juang yang tidak boleh ditundukkan.
Walaupun
diri Pak Said dan tokoh-tokoh lain yang senasib dengannya pernah dipenjarakan,
jiwa mereka bebas memeluk pertiwi manakala pemikiran mereka menjangkau luas di
persada dunia. Mereka telah memahatkan nama yang harum dalam sejarah perjuangan
kebebasan dan keadilan manusia sejagat yang kekal abadi.
Pak
Said sudah tidak ada lagi dengan kita, tetapi meminjam kata-kata penyair agung
A Samad Said, dalam ketiadaan amat terasa kehadirannya.
Dalam
kenangan, kita tetap merindui dan menyanjungi imej besar Pak Said!
Semoga
Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau, dan meletakkannya dalam kalangan
orang-orang yang beriman!
Alfatihah!
Ulasan