HILANGNYA SEBUTIR BINTANG DI ANGKASA NUSANTARA

oleh Datok Abdul Rahman Embong (dipetik dari http://www.malaysiakini.com/news/338005) Berita pemergian secara mengejut Allahyarham Said Zahari - seorang patriot ulung, pejuang kebebasan dan ikon kewartawanan di Malaysia dan Singapura bahkan di rantau Nusantara - telah tersebar luas di dalam dan luar negara. Walaupun tersentak dengan berita sedih ini, ahli-ahli keluarga, kawan-kawan seperjuangan dan para peminat Pak Said sudah mula menerima hakikat bahawa beliau sudah tidak ada lagi dalam kalangan kita semua. Pak Said telah meninggal dunia semasa tidur di rumah kediaman anaknya Rismawati di Puncak Alam, Selangor pada kira-kira 12.30 tengahari 12 April 2016 dalam usia 88 tahun. Said Zahari dilahirkan dalam sebuah keluarga Melayu keturunan Jawa di Kampung Kebun Bunga, Singapura pada 18 Mei 1928. Beliau mendapat pendidikan Sekolah Melayu di Singapura sebelum Perang Dunia Ke-2, dan meneruskan pengajian untuk memperoleh sijil Senior Cambridge selepas pendudukan Jepun, sambil da