DEMONSTRASI MAY DAY TERBESAR DALAM SEJARAH
Pada 1 Mei 1947, demonstrasi Hari Buruh “May Day” terbesar dalam
sejarah Malaya dan Singapura sebelum Merdeka telah diadakan di bandar
Singapura. Demonstrasi yang dianjurkan oleh kesatuan buruh terbesar di Malaya,
PMFTU (Pan-Malayan Federation of Trade Unions) dan SFTU (Singapore Federation
of Trade Unions) itu telah dihadiri oleh 50,000 orang pekerja yang telah
berhimpun di Farrer Park, diikuti dengan perarakan sejauh 3 km di tengah bandar
Singapura.
Akhbar The Straits Times bertarikh 2
Mei 1947 telah melaporkan, “While police riots squads stood by with tear gas
and radio patrol cars, a two-mile procession marched through the streets
without incident, carrying banners and posters. At the two-hour rally held at
Farrer Park, a resolution was passed urging the Government to recognise May Day
in future as an official holiday with full pay for workers.”
Demonstrasi May Day tahun
1947 ini merupakan kali pertama gerakan buruh di Malaya menuntut supaya Hari
Buruh 1 Mei diiktiraf sebagai hari cuti umum di seluruh Malaya dan Singapura.
Majalah Kenchana keluaran
bulan Jun 1947 telah melaporkan, “Beribu-ribu kaum buruh Singapura telah ikut
merayakan hari buruh 1 Mei, seperti juga berjuta-juta saudaranya kaum buruh seluruh
dunia telah merayakan dengan penuh keramaian dan kebesaran. Berbagai macam
bendera kebangsaan telah dijulangkan ke udara diiringi berpuluh-puluh kata
slogan yang mengemukakan semangat tekad bulat persatuan kaum buruh dalam
pertahanan dan perjuangannya untuk menetapkan keadaan yang baik dari tindasan
kezaliman kaum majikan.”
Dalam ucapannya semasa
perhimpunan itu, Setiausaha Agung PMFTU telah berkata, “Kebebasan bersuara,
kebebasan media, kebebasan berpersatuan, kebebasan berhimpun dan berdemonstrasi
sudah lama menjadi matlamat utama dalam perjuangan kaum buruh di Malaya.”
Selepas tahun 1945, selepas
tamat zaman Pendudukan Jepun, PMFTU merupakan kesatuan sekerja paling besar dan
paling kuat dengan keahlian seramai 300,000 orang pekerja di seluruh Malaya
& Singapura. Kerana bimbang kebangkitan gerakan buruh yang boleh menggugat
kedudukan mereka, kerajaan penjajah British telah mengharamkan PMFTU setahun
kemudian pada bulan Jun 1948.
Sumber gambar: Majalah
Kenchana (Jun 1947), akhbar The Straits Times (2 Mei 1947).
Ulasan