MENGORBANKAN JAWATAN DEMI PERJUANGAN
![]() |
Abdullah C.D. |
Pada tahun 1948 (sebelum perisytiharan darurat), PKMM mengadakan Kongres
Kebangsaan Ke-3 di Singapura. Tanpa diduga dalam kongres itu telah timbul
keretakan besar dalam pucuk pimpinan. Di luar jangkaan kami, timbul golongan
Ishak Haji Mohamad yang terdiri daripada Ishak sendiri, Ahmad Boestamam dan
Taha Kalu (Ketua PKMM Cawangan Singapura, bekas pesara OCPD). Golongan ini
tidak suka melihat gabungan tenaga nasionalis dan komunis di dalam pucuk
pimpinan PKMM. Oleh itu, dalam kongres kali ini mereka cuba menjatuhkan Dr. Burhanuddin
dan menggantikannya dengan Ishak Haji Mohamad. Akan tetapi dalam pemilihan
pucuk pimpinan, Dr. Burhanuddin mendapat undi majoriti mutlak, manakala Ishak
Haji Muhamad mendapat jumlah undi yang kecil sahaja.
Masalah ini tidak berhenti
setakat itu. Golongan Ishak mengemukakan pula usul mengejut untuk meminda
perlembagaan parti dengan mewujudkan jawatan Penasihat Agung dan meminta Dr.
Burhanuddin Al-Helmy menyandang jawatan itu; membatalkan badan politbiro dan
menetapkan anggota Jawatankuasa Pusat terdiri daripada lima orang sahaja.
Kongres telah menerima usul ini untuk dibahaskan.
Dalam perbahasan itu,
timbullah perdebatan sengit antara penyokong Dr. Burhanuddin Al-Helmy dengan
golongan Ishak Haji Muhamad. Shamsiah Fakeh bangun mencabar Ahmad Boestamam dan
Ishak Haji Mohamad dengan meminta mereka menunjukkan keterangan menjadi anggota
PKMM. Kerana tidak ada apa-apa keterangan, Ahmad Boestamam meminta maaf. Ketua
PKMM Johor, Majid pula bercakap di depan kongres mengugut yang beliau akan
menarik diri dari PKMM jikalau usul itu diluluskan. Harun Aminurrashid yang
duduk di sebelah saya berbisik ke telinga saya menyatakan, “Ini diktator, parti
dikontrol oleh lima orang saja.”
Apabila kongres berehat
sebelah petangnya, Dr. Burhanuddin Al-Helmy menjemput saya ke kediamannya di
rumah seorang keluarganya di Singapura. Beliau menyatakan keraguannya akibat
perpecahan di dalam pucuk pimpinan itu. Beliau mengatakan yang beliau tidak
dapat berbuat apa-apa.
Saya dan Dr. Burhanuddin
merasakan ini satu masalah penting yang harus ditangani dengan cermat dan
berhati-hati. Saya ajukan kepada beliau supaya menerima sahaja tuntutan mereka.
Kalau tidak PKMM mungkin akan berpecah. Walaupun mereka menguasai pucuk
pimpinan parti, namun mereka (golongan Ishak Haji Mohamad) tidak boleh berbuat
apa-apa kerana kekuatan pokok parti berada di tangan kami. Contohnya, Melaka
ialah kubu kuat Dr. Burhanuddin Al-Helmy; beberapa bahagian PKMM pada peringkat
negeri pula adalah kubu kuat saya, seperti Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan
Pulau Pinang; Kamarulzaman Teh mempunyai pengaruh besar di Pahang; Musa Ahmad
menguasai gerakan tani; Shamsiah Fakeh menguasai gerakan wanita iaitu AWAS.
Ahmad Boestamam sendiri mendapat sokongan dari Selangor, khasnya Ulu Langat,
itu pun terbahagi dua, sebahagiannya menyokong saya. Ahmad Boestamam juga
mendapat sokongan di Perak. Taha Kalu hanya menguasai PKMM Singapura. Kesatuan
Buruh Singapura berada di bawah pengaruh Bizar Ahmad. Oleh itu kami merasakan
menerima tuntutan mereka tidak akan mendatangkan apa-apa masalah dan ia lebih
baik demi memelihara perpaduan parti.
Selepas itu, saya menemui
kawan-kawan lain khususnya Shamsiah dan
Musa Ahmad meminta mereka bertenang sambil menjelaskan masalah tadi.
Akhirnya, atas persetujuan
Dr. Burhanuddin Al-Helmy, kongres telah meluluskan usul golongan Ishak Haji
Mohamad itu. Dr. Burhanuddin Al-Helmy melepaskan jawatan Ketua PKMM dan
menyandang jawatan Penasihat Agung; Ishak Haji Mohamad secara automatik menjadi
Ketua PKMM dan Ahmad Boestamam menjadi Naibnya. Saya, Shamsiah, Musa Ahmad,
Shamsuddin Salleh, Majid dan lain-lain tidak lagi menjadi anggota Jawatankuasa
Pusat.
Walaupun kami tidak lagi
menjadi anggota Jawatankuasa Pusat, akan tetapi kami tetap memainkan peranan
masing-masing untuk terus mengembangkan pengaruh dan perjuangan PKMM. Kami
sedaya upaya mengenepikan segala perbezaan untuk satu cita-cita murni
kemerdekaan ibu pertiwi dan pembebasan rakyat. Dan kerana ini juga krisis besar
itu tidak menimbulkan apa-apa pengaruh kepada parti dan perjuangan.
Kenyataan selepas itu
membuktikan bahawa taksiran kami tadi tepat. Walaupun Dr. Burhanuddin Al-Helmy
tidak menjadi ketua PKMM, akan tetapi beliau tetap merupakan orang nombor satu,
prestijnya amat tinggi dan pengaruhnya besar. Kami dengan teguh mendukung dan
menyokong kepimpinan beliau.
Walau bagaimanapun banyak
bahagian PKMM pada peringkat negeri merasa tidak puas hati terhadap golongan
Ishak Haji Mohamad. Kawasan Ulu Langat merupakan kubu kuat Ahmad Boestamam.
Akan tetapi ketika beliau tiba di Ulu Langat selepas kongres itu, bilangan
orang yang menyambutnya boleh dihitung dengan jari sahaja. Lazimnya, sebelum
itu, apabila beliau datang, orang ramai akan penuh sesak menyambutnya.
Tidak lama selepas itu, dalam satu
pertemuan terakhir kami (Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam dan saya) di
Kuala Lumpur, Ahmad Boestamam meminta maaf atas kesilapannya di dalam kongres
tersebut. Naib Ketua PKMM Singapura, Nawi (nama ini berdasarkan ingatan saya
saja) juga menemui saya dan meminta maaf atas masalah yang ditimbulkan dalam
kongres itu. Nawi berasal dari Kuala Kangsar, Perak dan pernah bersama-sama
saya menuntut di Clifford School, Kuala Kangsar. Selain itu beberapa kawan lagi
(saya sudah tak ingat nama mereka) juga datang meminta maaf.
(Memoir
Abdullah C.D.: Zaman Pergerakan Sehingga
1948)
Ulasan