Pada malam 20 Jun 65 tahun yang lalu, setelah
mengisytiharkan Undang-undang Darurat, penjajah
British telah melakukan penangkapan secara menyeluruh diseluruh negara.
Aktivis-aktivis kiri yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air direngkokkan ke
dalam penjara. Inilah peristiwa 20 Jun, penindasan besar-besaran ke atas
gerakan kemerdekaan.
 |
penjajah British dan anjing buruannya sedang melakukan penggeledahan
|
Dalam bukunya yang bertajuk Darurat dan Kemerdekaan, Pak
Abdullah C.D. telah merakamkan sedikit pengalamannya ketika itu.
Kerana perjuangan menentang penjajah British untuk
kemerdekaan terus berkembang sehingga tidak dapat dikawal lagi, maka pada 18
Jun 1948, penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat di seluruh negara.
Parti-parti atau pertubuhan-pertubuhan patriotik-demokratik (golongan kiri) semuanya diharamkan. Antaranya
PKM, PKMM, PETA, AWAS, BTM, Hizbul Muslimin, New Democratic Youth League
(NDYL), kesatuan-kesatuan buruh dan lain-lain.
Pada 20 Jun 1948, penjajah British melakukan penangkapan
secara besar-besaran ke atas kader-kader dan anggota-anggota parti atau
pertubuhan-pertubuhan patriotik-demokratik seperti PKM, PKMM dan lain-lain. Di
antara mereka ada yang dipenjara, disiksa, dihukum gantung dan dibuang negeri.
Penangkapan besar-besaran ini telah memberikan pukulan yang
paling berat ke atas
kekuatan patriotik-demokratik bahagian Melayu. Tiga orang
pemimpin penting bahagian Melayu PKM yang hadir dalam Kem Se-Malaya telah
ditangkap. Kamarulzaman ditangkap pada 20 Jun 1948, saya ditangkap pada 10
Julai 1948 dan Rashid Maidin juga ditangkap dalam bulan yang sama.
 |
tawaran untuk menangkap Abdullah C.D.
|
Mujurnya dalam pergelutan yang menentukan hidup mati itu,
saya berjaya melucutkan gari dan melarikan diri; Rashid Maidin berjaya
melarikan diri pada tahun 1951 manakala Kamarulzaman yang pada mulanya dijatuhi
hukuman gantung sampai mati telah diubah menjadi penjara seumur hidup.
Rakan-rakan seperjuangan yang lain juga dalam PKMM dan PKM
ramai yang menjadi mangsa penangkapan tersebut. Antara mereka termasuklah Ishak
Haji Mohd, Ahmad Boestamam, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Cikgu Sabrun, Osman
Bakar, Cikgu Muda, Cikgu Hamid, Ustaz Yahya Nasim, Taharuddin, Kamaruddin,
Bizar Ahmad, Sutan Djenain, Khatijah Ali
dan lain-lain. Ketika itu seluruh negara telah ditenggelami dalam suasana terror
putih, penindasan dan penangkapan terus-menerus berlaku di mana-mana.
 |
Boestamam digiring ke penjara |
Sungguhpun begitu, UMNO, parti politik Melayu yang
pro-penjajah tidak menjadi sasaran Undang-undang Darurat. Undang-undang
tersebut di samping menekan parti-parti politik patriotik-demokratik yang
memperjuangkan kemerdekaan juga telah meletakkan batu loncatan kepada UMNO
untuk melompat ke panggung politik tanpa sebarang saingan. Mulai dari sinilah ia
tampil ke muka sebagai pembela orang Melayu.
Ulasan