KONSEP SOSIALISME TERMAKTUB DALAM AL-QURAN — Mohd Nasir Hashim
Rencana
Konsep
sosialisme termaktub dalam Al-Quran — Mohd Nasir Hashim
April 23, 2013
23 APRIL — Baru-baru ini dan
menjelang pengundian pilihan raya, tersiar ucapan Hadi Awang dalam YouTube
mengutuk golongan kiri,berfahaman komunis, mengaitkan dengan Parti Lenin, Parti
Stalin. Persepsi ini telah mendorong banyak pihak termasuk pihak media yang
ingin mendapat feedback dari kami kerana beranggapan serangan ini ditujukan
kepada kerusi Kota Damansara yang disandang oleh Dr Nasir Hashim, Pengerusi PSM
yang bertanding menggunakan logo PKR.
Kami juga difahamkan kepimpinan PAS
malam ini akan membincangkan isu ini. PSM adalah rakan seperjuangan PR dan kami
bersama PR dalam pelbagai isu perjuangan rakyat dan ini tidak boleh
dipertikaikan lagi. Isu ini menjadi kecoh hanya apabila PAS Subang meletakkan
calon walaupun tanpa restu PAS Selangor dan Pusat semasa hari percalonan. Ini
perlu dijelaskan. Selain itu, kami berharap Presiden PAS memperjelaskan samaada
serangan beliau ditujukan kepada PSM dan kerusi Kota Damansara. Bagi kami ini
sebenarnya bukan persoalan ideologi tetapi hanya perebutan kerusi.
Walaubagaimanapun kami kecewa dengan
hujah-hujah Hadi Awang. Kutukan dan cemuhan yang tidak berasas terhadap kami
sungguh menyedihkan, bahkan memfitnahkan kami sejajar dengan larangan dalam
Al-Quran Surah Al- Baqarah 2: 191,214 “Fitnah lebih kejam daripada pembunuhan”.
Tuduhan ini menghambat dan menyekat
hasrat kami memperjuangkan nasib rakyat yang tertindas seperti yang diarahkan
Allah SWT dalam Al-Quran Surah An-Nisa 4:135 “ Wahai orang-orang yang
beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan”.
Teringat juga tuduhan yang sama
dilemparkan kepada kami semasa kempen seluruh negara “Udahlah... BN
bersaralah”. BN cemas dan menahan enam rakan-rakan kami di bawah Emergency
Ordinance (EO) menjelang Perhimpunan Bersih dan menuduh kami pengasas Bersih,
komunis dan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong, dengan tujuan
menakut-nakutkan orang ramai. Semuanya tidak benar dan kami telah mencabar
mereka membuktikannya. Akhirnya rakan-rakan kami dibebaskan tanpa dakwaan. Maka
dalam keadaan cemas, tuduhan komunis (communist bogey) sentiasa menjadi senjata
dan sandaran.
Kami menghormati Hadi Awang selaku
Presiden PAS tetapi berbeza pendapat tentang fahamannya terhadap ideologi khususnya
Komunis, Sosialis dan peranan puak kiri. Kami juga mengaku tidak setanding Hadi
dan masih memohon hidayat Allah SWT membimbing kami ke jalan yang benar
(Ihdinas siratal mustakim). Tetapi kami tidak senang dengan tuduhan yang melulu
dan tidak berasas.
PSM adalah parti sosialis berfahaman
sosialis bukan berfahaman komunis dan melanggar ajaran Islam sila tunjuk
buktinya. Kami telah berkhidmat selama 5 tahun sebagai wakil rakyat dan isu ini
tidak timbul dan sentiasa mendapat kerjasama dari semua pihak. Kami juga telah
memperjuangkan hak rakyat berpuluh tahun lamanya di merata-rata tempat, maka
tunjuklah kepada kami kegiatan manakah yang berunsur komunis dan anti-Islam.
Kalau tidak ada bukti, tuduhan ini berunsur fitnah terhadap kami dan kami
berserah saja kepada Allah yang Maha Esa.
Niat kami mudah belaka. Kami ingin
memperjuangkan nama-nama Allah iaitu Kebenaran (Al-Haq) dan Keadilan (Al-Adl)
dan membebaskan rakyat dari cengkaman penindasan yang memiskinkan rakyat
seperti mana yang dikehendaki Allah SWT.
Kami juga pertikai orang-orang yang
menyalahgunakan agama demi kepentingan politik dan peribadi, yang mencerut
martabat agama yang murni dan universal sepertimana yang dilarang dalam
Al-Quran, Baqarah 2:41 “menjual agama dengan harga yang murah”.
Namun sistem kapitalis di negara
kita, rata-rata mempersendakan dan meremehkan agama dengan amalan penindasan,
keganasan, riba, penipuan, rasuah dan melipatgandakan keuntungan. Sosialis
tidak melakukan kesemuanya ini. Kami mempertikaikan sistem yang pincang dan anti-agama
ini dan mendedahkan acuan kapitalis yang berkiblat kepada penindasan dan
mempertuhankan kepada keuntungan. Malangnya sosialis dimangsakan. Justeru kita
perlukan perubahan dan penyatuan; dan bukanlah perpecahan dan kehancuran.
Sumber ilham sosialis bersandarkan
kepada petikan Al Quran Qasas 28:5; “Dan kami hendak memberikan kurnia
kepada orang-orang yang tertindas di bumi dan hendak menjadikan mereka
pemimpin, serta jadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi)”. Inilah inti
sari sosialisme dan inilah perjuangan kami.
Saya pernah menulis makalah
“Perjuangan Kelas Dalam Islam” April 2010 dan disiarkan dalam FMT (Free
Malaysia Today) menceritakan tentang kelas yang menindas (Mustakbirun) dan
kelas yang tertindas (Mustadafin) dan konsep dialektika dalam Al-Quran.
Ramai tokoh-tokoh sosialis juga
menggunakan hubungan dialektika (dialectical relationship) yang mengimbangkan
sifat yang bercanggah (jamal-jalal) menuju kesederhanaan (wasatiyyah) dan
kesempurnaan (kamal)/penyatuan (tauhid). Konsep ini juga diamalkan oleh Abu
Dzarr Al Gifarri (sahabat setia Nabi Muhammad SAW); Abu Said Kharraz; Muhyiddin
Al Arabi (pemikir Islam yang tersohor dan pengasas sufisme/ tasawuf);
Burhanudin Al Hilmi (seorang sosialis Pengasas Parti Pas); Ali Syariati;
pejuang-pejuang kiri di Iran dan Iraq yang menuntut keadilan dan
kemerdekaan.
dipetik dari http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/konsep-sosialisme-termaktub-dalam-al-quran-mohd-nasir-hashim/
Ulasan