CATATAN RASHID MAIDIN PADA PENGANTAR MEMOIR SURIANI ABDULLAH
Setengah Abad Dalam Perjuangan - sebuah memoir
tulisan Suriani Abdullah yang mencatatkan perjuangan dan kehidupan beliau yang
mengkagumkan, bagaikan helang merempuh badai gelora menuju ke puncak cita-cita
pantai bahagia.
Sejarah berputar mengikut
edarannya, kesedaran dan kemajuan manusia juga berkembang mengikut zamannya.
Beliau dilahirkan dalam zaman kesedaran nasional rakyat tanah jajahan dan setengah jajahan di dunia, Asia
khasnya sedang menggelora. Kebangkitan ini telah menempa beliau dari seorang
gadis "bagaikan mutiara di tapak
tangan" berubah menjadi seorang pejuang wanita yang unggul dan
bercita-cita tinggi untuk keadilan masyarakat, kemerdekaan negara dan
bangsanya.
Saya bertemu dengan beliau pada
tahun 1945, apabila saya menyertai Pasukan Propaganda Perak di bawah pimpinan beliau.
Sejak itu kami bahu membahu dalam perjuangan. Selepas itu, kami sama-sama
bergerak sebagai wakil PKM terbuka dan kemudiannya sama-sama berjuang di
Rejimen Ke-10.
Suriani pernah melalui 6 masa
sejarah atau 6 peringkat perjuangan yang
penting iaitu masa perjuangan sebelum pencerobohan fasis Jepun; perjuangan anti-Jepun (1941 - 1945);
perjuangan secara berperlembagaan selepas kekalahan Jepun (1945 - 1948), Perang
Pembebasan Nasional Anti-British setelah penjajah British mengisytiharkan
Undang-undang Darurat (1948-1957); Perang Revolusioner Dalam Negeri apabila
Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu menolak untuk
memberhentikan perang secara adil dan munasabah (1957-1989) dan
perjuangan untuk membangun kehidupan bekas perajurit Rejimen Ke-10 setelah
termaterinya Persetujuan Damai Haadyai pada tahun 1989.
Sepanjang masa sejarah yang
cemerlang tersebut, beliau telah mengharungi berbagai-bagai prahara atau
berbagai ujian perjuangan yang dahsyat. Sebelum pendudukan Jepun, beliau pernah
diserbu dan dikepung polis British di sebuah bilik, tetapi dengan sikap yang
tenang dan akal teknik yang cerdik, beliau berjaya melepaskan diri. Dalam masa
pendudukan Jepun, beliau pernah terserempak dengan pegawai dan tentera Jepun ketika beliau berbincang dengan anak tuan punya lombong di
Tanjung Tualang, tetapi beliau dengan tabah dan berani bersembunyi di sebalik
dinding sebelah; ketika menjadi Setiausaha Kawasan Tanjung Tualang, beliau
pernah dikepung oleh askar fasis Jepun. Kerana pistolnya tak meletu, beliau
ditangkap dan dipenjarakan. Di dalam penjara beliau telah memperlihatkan semangat yang gagah berani, sedikit pun tak
tunduk kepada kekejaman fasis Jepun. Dalam Perang Pembebasan Nasional
Anti-British dan Perang Revolusioner Dalam Negeri, beliau banyak kali melakukan
pertempuran gagah berani dan banyak kali menerima ujian berat seperti kempen
kepung basmi tentera penjajah British di Cameron Highlands, serangan udara
terbesar dalam sejarah peperangan Malaya di Ulu Kinta yang diarahkan sendiri
oleh Jeneral Bonn, kempen-kempen kepung basmi di kawasan sempadan dan
lain-lain. Demi perjuangan, beliau telah menjelajahi seluruh bumi tanah air, dari Singapura di
hujung selatan hinggalah ke kawasan sempadan di hujung utara Semenanjung dengan
mengharungi ribuan sungai, ribuan bukit
bukau dan gunung ganang serta ribuan lereng bukit dan lembah.
Di sepanjang jalan perjuangan,
Suriani telah memperlihatkan semangat
dan tekad juang yang teguh tak berganjak, berkhidmat sepenuh hati kepada usaha perjuangan. Pada awal pendudukan
Jepun, beliau dilantik sebagai Setiausaha Komiti Parti Bandaran Ipoh, pernah
menjadi Wakil Parti Kompeni Teladan Rejimen Ke-5 TAJRM; kemudian menjadi
anggota Area Komiti kawasan Chemor, Sungai Siput dan Setiausaha Area Komiti
Kawasan Tanjung Tualang, kampung-kampung Melayu sekitar Lambor, Batu Gajah dan lain-lain. Pada masa aman selepas
Jepun kalah, beliau dilantik sebagai Wakil PKM Negeri Perak dan menyertai
kerajaan BMA. Selepas itu, dilantik sebagai Ketua Setiausaha Pejabat Parti
Kuala Lumpur dan kemudian ditukarkan ke Singapura. Setelah undang-undang
darurat diisytiharkan, beliau mulanya dilantik sebagai Jawatankuasa Negeri
Johor, kemudian dilantik sebagai anggota Markas Besar Rejimen Ke-6. Setelah
sampai di kawasan sempadan, beliau dilantik
sebagai anggota Markas Besar Rejimen Ke-10. Pada tahun 1964, beliau
dilantik sebagai Naib Setiausaha Jawatankuasa Parti Rejimen Ke-10, tahun 1965
dilantik sebagai anggota Dewan Rendah Pertama Utara Malaya dan pada tahun 1975
dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Pusat PKM.
Kerana penampilan dan semangatnya
yang menonjol dalam Perang Anti-Jepun, beliau bersama 2 lagi pejuang wanita
Malaya telah diiktiraf sebagai SRIKANDI ANTI-JEPUN dalam satu sidang
antarabangsa di Beijing, Tiongkok.
Selepas kekalahan fasis Jepun
iaitu dalam masa perjuangan secara aman,
beliau muncul sebagai wakil parti atau Ketua Setiausaha Pejabat Parti, beliau bersama-sama kader terbuka yang lain dengan
tekun dan tabah memperluaskan pengaruh parti dan mempertinggikan prestij parti
serta mendorong maju perjuangan. Dengan
adanya kelebihan berpidato dalam berbagai-bagai bahasa serta mempunyai langgam
dan gaya yang baik, beliau mendapat jolokan
"Bintang PKM" dari massa
rakyat khasnya dari golongan nasionalis kiri bangsa Melayu.
Sejarah perjuangan beliau berkait
erat dengan sejarah perjuangan Rejimen Ke-10. Apabila ditugaskan membantu Rejimen Ke-10 dalam
perjalanan jauh ke kawasan sempadan pada tahun 1953, beliau telah dengan tulus
ikhlas membantu Abdullah C.D. dan Markas Besar Rejimen Ke-10 menyelesaikan
bermacam-macam tugas di sepanjang jalan. Setelah dilantik sebagai anggota
Markas Besar Rejimen Ke-10, beliau dengan rendah hati berusaha mempelajari
kebudayaan dan adat istiadat Melayu dan akhirnya telah mengintegrasikan diri
dengan kawan-kawan Melayu yang pada umumnya berasal dari kelas tani miskin. Di
sini pula, bersama-sama pimpinan lain, beliau menumpahkan seluruh tenaga dan
usahanya untuk membangun dan mendewasakan pasukan, memperluas dan memperkukuh
kawasan basis, serta memimpin seluruh kader dan perajurit mempertahankan perjuangan bersenjata
sampai termaterinya persetujuan damai
Haadyai.
Ujian paling berat dihadapinya
ialah ketika Abdullah C.D. jatuh sakit terkena racun pada tahun 1975. Ketika
itu semua urusan memimpin tentera, parti dan berbagai bahagian terletak di atas
bahu beliau. Dalam kenyataannya beliau telah lulus dalam ujian dan
menyelesaikan tugas dengan jaya.
Termaterinya persetujuan damai
Haadyai antara Kerajaan Malaysia
dengan PKM dan antara Kerajaan Diraja Thailand dengan PKM merupakan titik
balik penting dalam sejarah perjuangannya. Tugas beliau memimpin pasukan telah
selesai, tapi diganti tugas baru membangun kampung dan kehidupan baru untuk
bekas perajurit. Sesudah pembangunan kampung dan kehidupan bekas perajurit agak sempurna,
beliau telah beberapa kali berkunjung ke luar negeri untuk menambah
pengetahuan, dan pernah 2 kali balik ke
Malaysia, menemui keluarga, sahabat handai dan menghadap ke bawah DYMM Sultan
Perak. Yang penting lagi ialah beliau dan Abdullah C.D. telah berpeluang
menunaikan ibadat Haji di tanah suci Mekah.
Kini usia beliau telah menjangkau
80 tahun, tapi beliau masih aktif menabur bakti kepada penduduk umum dan untuk
masa depan generasi baru, zuriat bekas
perajurit agar menuju masa depan yang indah.
(Rashid Maidin)
Yala,
Selatan Thailand
Ogos 2005
Ulasan