HISHAMUDDIN RAIS: KELENTONG UMNO PECAH, DONGENG MERDEKA TERBARAI
Kelentong Umno pecah, dongeng Merdeka terbarai (Hishamuddin Rais)
(http://www.keadilandaily.com)
Politik
Malaysia terkini semakin sehari semakin menarik. Bulan Ogos adalah
bulan paling rancak untuk menilai sejarah. Selama setengah abad parti United Malays National Organisation telah memiliki hegemoni dan monopoli terhadap semua jalur naratif sejarah perjuangan bangsa.
Selama lebih 40 tahun gerombolan United Malays National Organisation berkelentong
menjual sejarah organisasi mereka. Hampir setengah kurun gerombolan ini
bersama koncu-konconya berkisah bahawa merekalah yang berhak ke atas
bumi Tanah Melayu ini.
Dengan menjual nasi basi Ketuanan Melayu, parti siasah ini ke hulu ke
hilir membawa labun dongeng bahawa mereka sahajalah pejuang
kemerdekaan. Dengan slogan ‘Hidup Melayu’ parti siasah ini mereka
kisah-kisah dongeng bahawa merekalah pejuang yang menentang penjajah
British.
Mitos dan kisah dongeng pertama yang diterbarai oleh internet ialah
tentang naratif perjuangan bersenjata. Selama lebih dari setengah abad
warga Tanah Melayu dikelentong dengan kisah bahawa perjuangan menuntut
merdeka dilakukan tanpa pertumpahan darah. Tanah Melayu mendapat merdeka
melalui perundingan. Parti siasah United Malays National Organisation berunding
di London dengan British. Ini memang kisah hampeh. Ini cerita karut
lagi marut yang ditabur setiap bulan Ogos sejak 1958.
Selama lebih 40 tahun fakta bohong ini berjaya ditabur kerana warga
tidak memiliki maklumat alternatif. Sejarah perjuangan melawan British
disongsangkan. Tetapi melalui intenet, hari ini anak-anak muda mula
mengenali Chin Peng, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh, Pak Sako, Aziz
Ishak, Ibrahim Yaacob, Abdullah CD, Ahmad Boestaman, Dr Burhanuddin
Helmy dan Ustaz Abu Bakar Al- Baqir.
Anak-anak muda semua bangsa kini mengetahui bahawa parti siasah yang
tertua di Tanah Melayu ialah Parti Komunis Malaya (1930). Malah turut
sama berjuang melawan British ialah Kesatuan Melayu Muda (1938),
Angkatan Pemuda Insaf (1946), Angkatan Wanita Sedar (1946), Hizbul
Muslimin (1948) Parti Kebangsaan Melayu Malaya (1945). Semua gerakan
nasionalis ini melaungkan M-E-R-D-E-K-A sebagai slogan pejuangan. Ramai
kader dan ahli parti ini bersama PKM mengangkat senjata melawan British.
Kini anak semua bangsa mula mengenal Mat Indera yang mati digantung
oleh British pada malam 30 Januari 1953 di Penjara Taiping. Setelah
mangkat 59 tahun dahulu, hari ini Mat Indera menjadi ikon anak muda
setaraf dengan Che Geuvera. Sekali lagi, terima kasih Ronald Reagan.
Semakin ramai anak muda sedar bagaimana United Malays National
Organisation telah memesongkan sejarah perjuangan menghalau British.
Lihat fakta sejarah ini: United Malays National Organisation hanya ditubuhkan pada 1946. Sebelum United Malays National Organisation muncul, banyak parti dan kumpulan siasah yang lama berjuang menentang British.
Gerombolan United Malays National Organisation hanya dapat
berkembang sebagai sebuah parti politik apabila British mengharamkan
PKM, API, KMM dan Hizbul Muslimin. Malah, sehingga ke hari ini, nama
organisasasi – Umno – masih lagi menggunakan nama Inggeris. Dari fakta
sejarah, umum mengetahui United Malays National Organisation tidak
melaungkan MERDEKA sebagai slogan perjuangan. Parti yang namanya dalam
Bahasa Inggeris ini menjadi lawak seram apabila ‘Hidup Melayu’ dan bukan
‘Hidup Inggeris’ menjadi slogan perjuangan.
Pembohongan paling memualkan ialah apabila anak-anak muda mula
mengenal Pierre Jean de Berenger (1780-1857) – pembuat lagu Mamula Moon.
Kini telah diketahui umum, bagaimana Mamula Moon berevolusi untuk
menjadi lagu Terang Bulan di Indonesia. Lagu Terang Bulan ini kemudian
diciplak untuk menjadi lagu Negaraku di Malaysia.
Tidak cukup dengan lagu kebangsaan negara yang diciplak, kini timbul
perbincangan di kalangan anak-anak muda untuk mengubah rupa bentuk
bendera Malaysia. Ini kerana bendera Malaysia yang wujud hari ini
dilihat sebagai ciplakan dari bendera Amerika Syarikat. Melalui maklumat
internet, orang ramai tahu bahawa selama ini wujud bendera Sang Saka
Merah Putih yang membawa motif Nusantara. Jalur Gemilang nama yang hanya
baru diberi empat tahun dahulu tidak bermotif roh Nusantara. Dapat
dilihat dengan jelas bahawa Jalur Gemilang bermotif ciplakan dari The
Star Spangled Banner.
Pembohongan demi pembohongan yang disalut dengan ciplakan ini
akhirnya melahirkan lawak hitam lagi sedih. Lawak hitam ini muncul
sesudah 8 Mac 2008. Sesudah tarikh ini, sejarah Semenanjung Tanah
Melayu, Sabah dan Sarawak berubah untuk selama-lamanya. United Malays National Organisation tidak
lagi dilihat sebagai sebuah parti siasah tetapi sebagai satu gerombolan
penyamun yang sedang menyamun harta negara. Kebencian orang ramai
kepada parti ini tidak dapat dinafikan lagi. Orang ramai menunggu masa
untuk menghumbankan parti ini ke tong sampah sejarah.
Di saat saat genting ini – dalam keadaan nyawa-nyawa ikan – United Malays National Organisation cuba
memenangi kembali hati anak-anak muda yang sedang berguru dengan
internet dan media baru. Putar punya putar muncul logo untuk sambutan
hari 31 Ogos. Apabila muncul sahaja logo 31 Ogos ini serangan datang
bertalu-talu dari laman dari blog, dari facebook dan twitter, anak-anak
muda terus berkicau memperlekehkan logo ini.
Pelekehan logo 31 Ogos ini memiliki sejarah kerana pada tahun 2008
logo 31 Ogos juga diciplak dari Taiwan. Tetapi ketika itu, serangan anak
muda agak terhad. Tetapi kali ini serangan datang bergantang-gantang
sehinggakan pungutan suara melalui media baru di Malay Mail – akhbar pro
United Malays National Organisation – terpaksa dipadam. Logo 31 Ogos
ini diperlekeh dan ditolak.
Dalam keadaan kelam kabut ini Menteri yang berwajib cuba mencari
jalan keluar. Menteri Kelam Kabut ini cuba memanggil pandangan dan
cadangan dari orang ramai sebagai jalan penyelesaian.
Ha! Ha! Jalan penyelesaian bukan semudah yang dimimpikan kerana jalan
penyelesaian ini pula memunculkan satu lagi lawak seram lagi hitam.
Lawak hitam logo 31 Ogos berjangkit pula kepada lagu tema 31 Ogos. Tema
lagu ini dirancang dengan licik untuk digunakan sebagai alat propaganda
untuk memenangi hati orang ramai pada PRU 13.
Tiba-tiba laman media baru meledak dengan berita bahawa lagu tema 31
Ogos ini rupa-rupanya diciplak dari lagu gereja Indonesia. Kah kah kah
!! Sudah jatuh ditimpa tangga. Kini muka terhempap pula ke tahi lembu.
Sekali lagi, terima kasih Ronald Reagan.
Di sebalik semua ini, apakah yang sebenarnya terjadi? Betulkan logo
31 Ogos itu hodoh? Betulkah lagu tema 31 Ogos itu diciplak dari lagu
gereja Indonesia? Dua soalan ini tidak memerlukan jawapan. Malah soalan
ini pun tidak relevan.
Bukan logo cun atau lagu cool yang menjadi ingin diwujudkan. Apa yang
sedang berlaku sekarang ialah manifestasi tentang kebencian orang ramai
terhadap United Malays National Organisation. Penolakan dan pelekehan terhadap logo dan lagu ini adalah manifestasi betapa bencinya anak-anak muda dan orang ramai terhadap United Malays National Organisation.
Sama ada lagu ‘Janji Ditepati’ ada persamaan dengan lagu ‘Tuhanku
Maha Besar’ memang tidak relevan. Sama ada dua bar atau lima bar petikan
gitarnya berbunyi sama bukan persoalan. Bukan semua yang menentang lagu
ini tahu tentang muzik. Malah, mungkin ramai yang mengutuk lagu ini di
facebook tidak pun mendengar untuk membuat bandingan kedua-dua lagu ini.
Tetapi semua ini tidak penting. Yang wajib kita fahami ialah semua ini
adalah menifestasi dari kebencian orang ramai terhadap United Malays National Organisation.
Penolakan dan pelekehan ini muncul kerana umum mengetahui bahawa parti siasah United Malays National Organisation ini
tidak bermaya lagi. Parti ini sedang nazak. Kalau kayu tepi sungai
sudah condong, bukan sahaja kura-kura akan memanjat, malah ia akan
dijadi pangkin untuk terberak.
Hari ini, kebencian sampai ke kemuncaknya. Apa sahaja yang
dicadangkan, apa sahaja yang dianjurkan – semuanya akan ditolak.
Semuanya akan diperlekeh. Malah, sebelum pun keluar satu perkataan
keluar dari mulut Najib – Presiden United Malays National Organisation - perkataan itu tidak dipercayai. Terima kasih Ronald Reagan.
artikel asal: http://www.keadilandaily.com/kelentong-umno-pecah-dongeng-merdeka-terbarai-oleh-hishamuddin-rais/
Ulasan