SELAMAT HARI PEKERJA ANTARABANGSA
Hari Mei Satu: Hari Kuasa Pekerja
Choo Chon Kai | May 01, 2012 03:11:29 pm |http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=13030
Kebangkitan mahasiswa dan rakyat di negara kita sebenarnya adalah juga satu protes menentang sistem kapitalis yang hanya melindungi kepentingan 1% dan mengabaikan hak 99%. Kepincangan pilihanraya BN adalah semata-mata untuk berkuasa untuk mengondol kekayaan negara demi kesejahteraan kroni-kroni kapitalis mereka.
Sementara itu, di peringkat dunia pula, sistem kapitalis global sedang mengalami krisis yang amat mendalam dengan menyaksikan kegawatan ekonomi yang berterusan di Amerika Syarikat dan krisis hutang di negara-negara Eropah. Serangan bertubi-tubi golongan kapitalis antarabangsa ke atas golongan pekerja dan rakyat biasa telah mencetuskan penentangan yang hebat. Gerakan Indignados di Sepanyol, perjuangan menentang pengurangan perbelanjaan awam di Greece dan juga gerakan Occupy Wall Street yang merebak menjadi satu fenomena global, adalah manifestasi terbaru perjuangan rakyat dalam mencabar sistem kapitalis dan mencari alternatif baru.
Di Malaysia, Kerajaan UMNO-BN di bawah pimpinan Najib telah mewarisi dasar-dasar pro-kapitalis yang diamalkan sejak zaman Mahathir dengan meneruskan serangan ke atas rakyat melalui penswastaan, pemotongan sabsidi untuk rakyat, penindasan ke atas kesatuan sekerja dan sebagainya. Dasar ekonomi yang pro-kapitalis dan anti-pekerja telah membantu golongan kroni dan korporat besar mengaut keuntungan besar. Ini telah melebarkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin. Rakyat biasa akan terus dimangsakan dan kualiti kehidupan terus terjejas sekirannya dasar sebegini diteruskan.
Serangan yang terbaru dalam beberapa tahun sejak kebelakangan ini, termasuklah pindaan undang-undang buruh yang menghakis hak pekerja, termasuk pindaan Akta Pekerjaan yang menghalalkan buruh kontrak yang menindas pekerja. Jaminan kerja untuk para pekerja telah dijejas dengan teruknya dalam serangan terbaru ini.
Kerajaan UMNO-BN langsung tiada niat untuk melindungi hak pekerja, malah ia sanggup menggadaikan segala hak pekerja demi menjaga keuntungan kroni dan juga pemodal besar.
Tuntutan pekerja di Malaysia yang perlu ditunaikan segera demi menjamin kesejahteraan hidup adalah gaji minima RM 1500, jaminan kerja, kawalan harga barang, kebebasan menubuhkan Kesatuan Sekerja, bebas daripada beban cukai GST, perumahan selesa dan penghentian penswastaan perkhidmatan asas Semua tuntutan tersebut tidak mungkin jadi realiti dengan kerajaan UMNO-BN sekrang yang hanya tahu merompak rakyat biasa untuk kapitalis.
Hak pekerja tidak akan jatuh seperti durian, tetapi hanya jadi kenyataan melalui perjuangan yang berterusan.
Hari Mei Satu adalah hari untuk memperingati perjuangan pekerja dan juga inspirasi untuk kita terus memperjuangkan hak pekerja. Kita telah menunjukkan kehebatan kebangkitan kuasa rakyat dalam Himpunan Raksasa BERSIH 3.0 pada 28 April yang lalu, dan kita akan bawa semangat ini untuk terus maju ke hadapan.
Hidup Rakyat! Hidup Kaum Pekerja!
*Choo Chon Kai ialah ahli jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia.
Ulasan