INGGERIS MENGUASAI PULAU PINANG DENGAN UGUTAN DAN TIPU DAYA

Akan tetapi setelah membuka dan menguasai Pulau Pinang, British bukan saja memungkiri janjinya bahkan telah pergi lebih jauh dari itu. Ia telah mengisytiharkan Pulau Pinang dengan nama “Prince of Wales” pada 11 Ogos 1786 dan memasukkannya ke dalam jajahan takluk British. Tindakan British yang kurang ajar ini telah membangkitkan kemarahan sultan dan orang-orang Melayu. Pihak sultan telah bersiap-siap untuk menyerang British bagi merebut kembali Pulau Pinang. Serangan itu dilancarkan pada tahun 1791. Ini adalah perang anti-British yang pertama dilancarkan oleh orang-orang Melayu. Akan tetapi sultan tidak mengerahkan massa rakyat sepenuhnya. Baginda lebih bersandar pada kekuatan lasykar laut saja. Di pihak British pula pasukan Kapten Ligh di Pulau Pinang telah mendapat bantuan kapal-kapal perang British yang berpangkalan di India. Dengan demikian dia dapat mengalahkan pasukan-pasukan sultan. Dengan peperangan itu, bukan saja British telah dapat mempertahankan kedudukannya ke atas Pulau Pinang, bahkan mereka mara terus lalu menguasai Sungai Perai. Kerana British berada pada kedudukan yang lebih unggul, maka pada tahun 1800 Sultan Kedah terpaksa menerima satu perjanjian baru yang lebih menghinakan yang memberikan pula Seberang Perai kepada British. Mengikut perjanjian tersebut, pajak tahunan sebanyak $30,000 untuk Pulau Pinang telah diturunkan kepada $6,000. Seberang Prai diserahkan kepada British dengan pajak sebanyak $4,000. Dengan itu Pulau Pinang dan Seberang Perai telah menjadi tanah jajahan langsung British dengan bayaran pajak hanya $10,000 saja setahun. Dari tapak inilah penjajah British terus merancangkan untuk menguasai negeri-negeri Melayu satu demi satu.
Ulasan
SemanTan