GERAKAN POLITIK KIRI DI KAMPUNG JENDERAM
Gerakan Politik Kiri di Kampung Jenderam
Gerakan politik kiri di kampung Jenderam menarik untuk dikaji dan difahami, kerana secara perbandingan, kampung Jenderam adalah salah satu pusat atau kubu gerakan politik kiri yang terkuat, bukan saja pada peringkat daerah Hulu Langat, tetapi juga pada peringkat negeri Selangor.
Sebagaimana yang dinyatakan di atas tadi, di samping beberapa faktor yang umum bagi seluruh daerah Hulu Langat, diperkirakan ada faktor khsusus yang mempengaruhi kemunculan dan perkembangan gerakan politik kiri di kampung Jenderam, iaitu pengaruh dari Indonesia. Pengaruh dari Indonesia ini boleh dilihat dalam empat perkara yang berikut:
Pertama, kampung Jenderam dibuka antara tahun 1909-1910 oleh orang-orang keturunan Minangkabau yang berasal dari kampung Beranang, Hulu Langat. Selepas itu orang-orang keturunan Minangkabau dari kampung lain di daerah Hulu Langat dan dari Minangkabau, Sumatera Barat turut berhijrah ke kampung itu, sehingga akhirnya lebih 90% penduduk kampung itu terdiri daripada orang-orang keturunan Minangkabau.
Sehingga Perang Dunia Kedua (1941-1945), penduduk kampung Jenderam masih mempunyai hubungan yang rapat dengan “alam Minangkabau” yang merupakan tempat asal ibu bapa mereka atau tempat asal mereka sendiri. Salah satu cara mereka mengekalkan hubungan itu adalah dengan berkunjung atau pulang ke Minangkabau. Satu cara lagi adalah dengan menghantar anak mereka belajar ke Minangkabau.
Kedua, pada tahun 1922 Haji Jalaluddin Ismail, seorang guru agama dari Minangkabau telah datang ke kampung Jenderam, lalu mendirikan sebuah sekolah agama yang diberi nama Madrasatul-Ubudiah. Kedatangan beliau diikuti oleh beberapa orang guru agama lain dari Minangkabau. Haji Jalaluddin adalah seorang ulama “kaum Muda” yang dipengaruhi oleh gerakan pembaharuan agama di Timur Tengah. Jadi kadatangannya turut membawa fahaman kaum muda ke kampung itu.
Ketiga, bekas penuntut Madrasatul-Ubudiah ramai yang melanjutkan pelajaran ke sekolah agama terkenal di Minangkabau, seperti Sekolah-sekolah Diniah dan Thawalib. Sebahagian daripada mereka dilantik menjadi guru sekolah itu apabila balik ke kampung Jenderam, dan turut menyebarkan fahaman kaum muda di kalangan murid dan keluarga mereka. Dengan itu, fahaman kaum muda yang berasal dari Minangkabau itu akhirnya menjadi pegangan umum penduduk kampung Jenderam,
Keempat, anak penduduk kampung Jenderam yang belajar di Minangkabau bukan saja terdedah kepada cara pembelajaran yang baru, yang dikendalikan oleh ulama kaum muda, tetapi juga terlibat dengan gerakan politik. Misalnya pelajar yang belajar di Sekolah Thawalib terlibat dengan Parti Sarekat Islam yang berpusat di Jawa. Di samping itu, ada juga yang belajar politik secara khusus. Misalnya, Abu Bakar Jali yang kemudiannya menjadi Ketua PKMM Jenderam pernah mengikuti kursus politik yang dianjurkan oleh PERMI (Persatuan Mahasiswa Islam) yang mengadakan sekolah politik di Bukit Tinggi. Gurunya ialah Muchtar Lutfi, tokoh politik dari Minangkabau yang pernah belajar di Mesir (Mohd. Nor 1977/78: 38-39). Oleh itu, mereka telah terdedah kepada idea antikolonial, mempunyai pandangan dan pemikiran yang dinamis dan progresif, dan mudah menyokong gerakan politik yang berjuang untuk kemerdekaan di samping membawa fahaman kaum muda, apabila mereka kembali ke tanah air.
Oleh yang demikian, beberapa aspek gerakan politik kiri yang muncul di kampung Jenderam boleh dihuraikan dengan ringkas seperti di bawah ini.
Penglibatan dengan KMM
Gerakan politik kiri boleh dianggap bermula di kampung Jenderam tidak lama setelah KMM ditubuhkan pada tahun 1938 dengan penyertaan penduduk kampung Jenderam dalam organisasi itu. Bentuk penyertaan mereka yang utama adalah dengan menjadi ahli KMM. Meskipun jumlah mereka tidak dapat dipastikan, tetapi sebahagian anak penduduk kampung Jenderam yang pernah belajar di Minangkabau adalah antara orang yang menjadi ahli gerakan itu. Salah seorang daripada mereka ialah Bakar Jali yang dianggap sebagai Ketua KMM kampung Jenderam (Mohd.Nor Md.Amin 1977/78: 40).
Gerakan politik kiri boleh dianggap bermula di kampung Jenderam tidak lama setelah KMM ditubuhkan pada tahun 1938 dengan penyertaan penduduk kampung Jenderam dalam organisasi itu. Bentuk penyertaan mereka yang utama adalah dengan menjadi ahli KMM. Meskipun jumlah mereka tidak dapat dipastikan, tetapi sebahagian anak penduduk kampung Jenderam yang pernah belajar di Minangkabau adalah antara orang yang menjadi ahli gerakan itu. Salah seorang daripada mereka ialah Bakar Jali yang dianggap sebagai Ketua KMM kampung Jenderam (Mohd.Nor Md.Amin 1977/78: 40).
Penglibatan dengan Pembantu Indonesia Merdeka (PIM) dan Revolusi Indonesia .
Selepas Indonesia mengisytiharkan kemerdekaannya pada 17 Ogos 1945, sebuah organisasi yang dinamakan PIM telah ditubuhkan di Malaya dengan tujuan untuk menyalurkan bantuan material ke Indonesia . Sebagai orang-orang yang bersemangat patriotik dan antikolonial, penduduk kampung Jenderam tidak mahu ketinggalan daripada memberi sumbangan kepada saudara mara mereka di Indonesia . Oleh itu, sebuah cawangan PIM telah ditubuhkan di kampung Jenderam dengan dipimpin oleh Abu Bakar Jali. Antara aktiviti yang mereka jalankan adalah memungut wang dan pakaian lama untuk dihantar ke Indonesia melalui ibu pejabat PIM di Kuala Lumpur.
Apabila revolusi Indonesia meletus tidak lama selepas itu, kira-kria 10 orang penduduk kampung Jenderam telah pergi ke Sumatera untuk berbakti kepada Indonesia yang masih mereka anggap sebagai ”ibu pertiwi” mereka. Kepergian mereka dengan hanya menaiki sampan direstui dan dibiayai bersama oleh seluruh penduduk kampung Jenderam dan dianggap sebagai wakil seluruh penduduk kampung tersebut. Di Indonesia pada mulanya mereka menyertai pasukan tentera rakyat, kemudian diserapkan ke dalam Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang ditubuhkan pada tahun 1946 (Mohd. Nor Mohd.Amin 1977/78: 41-42).
Penubuhan Cawangan PKMM dan Badan Gabungannya
Di samping memberi bantuan kepada saudara mara mereka di Indonesia dan melibatkan diri dengan revolusi Indonesia , penduduk kampung Jenderam tidak mahu mengasingkan diri dari gerakan politik di Malaya sendiri. Oleh itu, apabila PKMM ditubuhkan pada akhir tahun 1945, mereka dengan cepat melibatkan diri dengan gerakan itu. Dengan dipelopori oleh Bakar Jali dan beberapa orang kawannya yang pernah menjadi ahli KMM, sebuah cawangan PKMM telah dttubuhkan di kampung Jenderam pada awal tahun 1946.
Apabila badan gabungan PKMM, iaitu Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Malaya (BATAS) ditubuhkan tidak lama selepas itu, penduduk kampung Jenderam juga tidak ketinggalan daripada melibatkan diri dengan semua gerakan itu. Ini bererti pada masa itu hampir seluruh penduduk kampung Jenderam, lelaki dan perempuan, telah melibatkan diri dalam perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.
Bagaimanapun, menarik juga diperhatikan bahawa pada masa itu tidak ada kepimpinan yang berasingan bagi menerajui PKMM, API, dan BATAS kampung Jenderam. Sebaliknya, semua pemimpin PKMM merangkap sebagai pemimpin API dan BATAS. Barisan kepimpinan ketiga-tiga organisasi itu adalah seperti berikut:
Ketua 1: Bakar bin Jali
Setiausaha: Ustaz Haji Hashim
Ahli Jawatankuasa:
Osman bin Binu
Jani bin Sudin
Ustaz Talib Nor
Abdul Latif bin Arshad
Mohd.Sharif bin Jamek
Mengenai jawatankuasa AWAS kampung Jenderam pula, nama mereka adalah seperti berikut:
Ketua 1: Fatimah binti Haji Kassim
Setiausaha: Rosnah binti Mien
Bendahari: Mariam binti Jaafar
Ahli Jawatankuasa:
Zaharah binti Hamid
Hindon binti Tahir
Zaharah binti Kassim
Sebagaimana yang dinyatakan di atas, beberapa orang pemimpin dari kampung Jenderam, seperti Bakar Jali dan semua pemimpin AWAS bukan saja menjadi pemimpin pada peringkat kampung itu, tetapi juga pada peringkat negeri Selangor. Ini menunjukkan betapa pentingnya kedudukan dan peranan pemimpin gerakan kiri dari kampung Jenderam dan memang selaras dengan kedudukan kampung Jenderam sebagai salah sebuah kubu gerakan kiri di Selangor.
Penglibatan dalam Perang Gerila
Penglibatan penduduk kampung Jenderam dengan perang gerila yang diterajui oleh Parti Komunis Malaya (PKM) terhadap penjajah Inggeris wajar dihuraikan di sini, kerana ia merupakan satu episod penting dalam sejarah perjuangan penduduk kampung Jenderam, malah itulah satu cara yang terbuka bagi orang-orang nasionalis kiri untuk meneruskan perjuangan mencapai kemerdekaan.
Selepas Undang-Undang Darurat diisytiharkan pada 20 Jun 1948, kampung Jenderam sebagai salah sebuah pusat atau kubu gerakan nasionalis kiri menjadi tumpuan pihak polis yang bertindak menangkap orang-orang yang menjadi pemimpin dan aktivis gerakan itu. Oleh itu, sepanjang tahun 1948 dan awal 1949 ada 16 orang penduduk kampung Jenderam yang telah ditangkap, sama ada kerana tidak sempat melarikan diri atau tidak mahu berbuat demikian. Di samping itu, sekurang-kurangnya ada lima orang yang telah melarikan diri ke Indonesia dan tidak balik semula ke negara ini (Mohd.Nor 1977/78: 58-60).
Namun, mengikut maklumat yang diperolehi oleh Mohd. Nor Mohd.Amin (1977/1978:58-60), sekurang-kurangnya ada 18 orang penduduk kampung Jenderam yang lebih rela masuk ke hutan dan menggabungkan diri dengan tentera PKM daripada membiarkan diri mereka ditangkap dan dijadikan tahanan politik. Mereka ialah:
1. Bakar bin Jali
2. Azman bin Haji Nordin
3. Hamid bin Tahir
4. Yaakob bin Mohd.Ali
5. Alias bin Siu
6. Mohamd Akib bin Kassim
7. Manaf bin Pisah
8. Ismail bin Manan
9. Yunus bin Buyung
10. Ismail bin Mohd.Sharif
11. Mohd.Zain bin Haji Kassim
12. Tajuddin bin Mahat
13. Yunus bin Abu
14. Abdul Malik bin Kabut
15. Sulaiman bin Haji Said
16. Malik bin Haji Bor
17. Manan bin Abdul Latif
18. Karim bin Sulaiman
Golongan 18 orang ini tidak mahu ditangkap dan dijadikan tahanan politik, dan dengan itu perlu mencari alternatif untuk meneruskan perjuangan mereka. Dari awal lagi mereka sudah melihat bahawa perjuangan bersenjata adalah jalan yang perlu mereka tempuh untuk meneruskan perjuangan mereka. Timbulnya persepsi yang demikian sekurang-kurangnya kerana dua faktor utama. Pertama, semasa melibatkan diri dengan API, mereka telah diorientasikan untuk berjuang secara bersenjata berdasarkan slogan API, “ Merdeka dengan Darah.” Kedua, sebagai orang-orang yang masih merasa dekat dengan perjuangan kemerdekaan di Indonesia , mereka juga melihat bahawa perjuangan secara revolusi atau perjuangan bersenjata adalah satu cara perjuangan yang boleh dijadikan contoh.
Walau bagaimanapun, pada masa itu mereka sebenarnya dalam keadaan ketiadaan pimpinan dan arahan. API dan PETA telah diharamkan. Ahmad Boestamam, bekas pemimpin API telah ditahan, manakala Wahi Anuar bekas pemimpin PETA telah masuk ke hutan di Temerloh, Pahang. Pemimpin utama PKMM, kecuali penasihatnya Dr.Burhanuddin telah ditahan. Dr.Burhanuddin pula tidak membuat apa-apa hubungan lagi dengan mereka. Oleh itu, pada mulanya mereka hanya bersembunyi dan bergerak secara sulit di sekitar kampung mereka dan belum ada hubungan secara langsung dengan PKM. Aktiviti mereka juga terbatas kepada mengadakan pertemuan dan perbincangan sesama sendiri.
Namun, kira-kira tiga atau empat bulan kemudian, mereka telah dihubungi oleh utusan PKM yang mempelawa mereka supaya menyertai perang gerila yang dilancarkan oleh parti itu. Mereka menerima pelawaan PKM, kerana ketika itu hanya itulah jalan yang boleh mereka pilih jika mereka mahu meneruskan perjuangan mereka.
Orang yang mula-mula melibatkan diri dengan perang gerila anjuran PKM itu ialah Bakar bin Jali. Dia melibatkan diri dengan peperangan itu pada bulan September 1948, diikuti oleh kawan-kawannya yang lain pada bulan Oktober 1948.
Pada mulanya mereka bergerak sebagai satu seksyen “komunis Melayu” di kawasan Salak, daerah Sepang. Kemudian mereka dipindahkan ke Sungai Long, daerah Hulu Langat untuk bergabung dengan seksyen Melayu yang lain, dan membentuk satu platun Melayu (seramai 36 orang) bersama dengan orang-orang dari Sungai Long, Sungai Serai dan Hulu Langat.
Pada tahun 1949 mereka berundur ke kawasan Titi, Negeri Sembilan untuk mengikuti latihan ketenteraan dan taktik perang gerila selama kira-kira enam bulan. Selepas tamat latihan itu, mereka dipecah-pecahkan kepada unit dua atau tiga orang dan diserapkan ke dalam platun-platun lain. Dengan itu, tidak ada lagi platun khusus untuk orang Melayu. Sebahagian daripada mereka diarahkan beroperasi di kawasan utara Selangor, sementara sebahagian lagi di kawasan selatan Selangor, khasnya di daerah Sepang.
Penglibatan mereka dengan perang gerila yang dipimpin oleh PKM itu hanya berakhir apabila 11 orang daripada mereka gugur di medan perjuangan, seorang ditangkap dan dikenakan hukuman gantung dan enam orang lagi menyerah diri. Mereka yang gugur ialah:
1. Mohd.Akib bin Kassim
2. Ismail bin Manan
3. Yunus bin Buyung
4. Ismail bin Mohd.Sharif
5. Tajudin bin Mahat
6. Yunus bin Abu
7. Abdul Malik bin Kabut
8. Sulaiman bin Haji Said
9. Malik bin Haji Nor
10. Manan bin Abdul Latif
11. Mohd.Zain bin Haji Kassim
Yang tertangkap dan dihukum gantung ialah Manaf bin Pisah. Enam orang yang menyerah diri pula ialah:
1. Bakar bin Jali
2. Azman bin Nordin
3. Hamid bin Tahir
4. Yaakob bin Mohd.Ali
5. Alias bin Siu
6. Karim bin Sulaiman
Antara enam orang yang menyerah diri, Bakar Jali mungkin yang terawal berbuat demikian. Dia menyerah diri pada 18 Mac 1951, kerana kemnya dibom dari udara dan dia tidak dapat lagi melepaskan diri. Azman Haji Nordin pula mungkin yang terakhir menyerah diri. Dia menyerah diri pada tahun 1957, selepas lapan tahun bergerila, kerana katanya pada masa itu Malaya sudah pun merdeka.
Nasionalis atau Komunis?
Setelah meninjau penglibatan penduduk kampung Jenderam dan daerah Hulu Langat dalam perang gerila yang diterajui oleh PKM, kita tentunya wajar menjawab satu soalan yang penting, iaitu adakah mereka nasionalis ataupun komunis?
Selama ini mereka dituduh telah “masuk komunis” dan menjadi komunis kerana telah masuk ke hutan dan bergabung dengan pasukan bersenjata komunis (Tentera Pembebasan Nasional Malaya). Tuduhan ini memang sukar untuk dinafikan, kerana dengan menggabungkan diri dengan pasukan tentera PKM bermakna mereka berada di bawah arahan PKM, terikat dengan disiplin parti komunis dan sama ada secara langsung atau tidak telah terlibat dengan aktiviti keganasan yang dilancarkan oleh PKM.
Namun, dalam hal ini adalah wajar kita menyelidiki sikap dan pendirian mereka sendiri. Dalam pengakuannya kepada Mohd.Nor (1977/78: 77) Azman Haji Nordin, salah seorang daripada mereka menyatakan bahawa mereka bukan komunis, tetapi bergerila bersama-sama komunis untuk mencapai kemerdekaan. Pengakuan ini saya kira wajar dipertimbangkan. Dari pengakuan Azman Haji Nordin itu, kita mendapat maklumat bahawa mereka berjuang bersama-sama dengan komunis tidak lain daripada meneruskan perjuangan asal mereka, iaitu untuk mencapai kemerdekaan. Akan tetapi, mereka tidak menganut ideologi komunis dan mungkin juga tidak menjadi ahli parti komunis. Oleh itu, pada hakikatnya mereka masih lagi merupakan orang-orang masionalis.
Dalam hal ini, kita patut juga mempertimbangkan keadaan mereka yang terdesak dan tersepit setelah Undang-Undang Darurat diisytiharkan pada Jun 1948. Mereka terpaksa membuat pilihan, sama ada membiarkan diri mereka ditangkap ataupun masuk ke hutan. Mereka memilih masuk ke hutan dan menggabungkan diri dengan PKM, kerana itu sahaja cara yang terbuka untuk meneruskan perjuangan mereka. Namun, selagi mereka belum menerima ideologi komunis dan belum menjadi ahli parti komunis, kita mungkin boleh menganggap bahawa mereka masih lagi nasionalis, dan bukan komunis. Dengan perkataan lain, mereka adalah nasionalis, tetapi telah dipaksa oleh keadaan untuk berjuang bersama-sama dengan komunis.
Dalam hubungan ini, penilaian yang agak adil dan saksama terhadap perjuangan mereka telah diberikan oleh seorang tokoh veteran UMNO, Tan Sri Abdul Samad Idris (almarhum) (1982:253) dengan kata-kata seperti berikut:
Pemberontakan yang dilakukan oleh orang Melayu di Jenderam, Selangor dan di
Temerloh, Pahang serta lain-lain tempat di mana mereka telah menyekutukan diri
dengan pengganas dalam hutan janganlah dianggap kerana fahaman komunis mereka
yang tebal.
Dari penelitian sejarah amatlah jelas bahawa mereka adalah tokoh-tokoh kebangsaan
Melayu yang tulin. Mereka memilih jalan hanya dengan pemberontakan saja untuk
mencapai kemerdekaan. Hal ini diperkuatkan dengan cita-cita API pimpinan Ahmad
Boestamam yang melaungkan slogan “ Merdeka Dengan Darah.”
Kesimpulan
Daerah Hulu Langat adalah satu kawasan dalam negeri Selangor di mana gerakan kiri Melayu pernah wujud antara tahun1946 hingga 1948 dahulu. Dengan sokongan orang-orang keturunan Indonesia di daerah itu, cawangan PKMM, API, AWAS, BATAS dan kemudiannya PETA telah wujud sebagai cawangan yang aktif. Hal ini ada kaitannya dengan kemunculan beberapa orang pemimpin yang berkebolehan, bukan saja pada peringkat daerah Hulu Langat, tetapi juga sebagai pemimpin pada peringkat nasional dan negeri Selangor.
Kampung Jenderam dalam daerah Hulu Langat pula adalah satu pusat atau kubu gerakan kiri yang terkuat pada peringkat negeri Selangor. Apa yang menarik ialah penduduk kampung itu telah menyertai perang gerila yang diterajui oleh PKM sebagai cara meneruskan perjuangan mereka setelah gerakan kiri itu diharamkan oleh penjajah Inggeris. Bagaimanapun, dengan meminjam pendapat Abdul Samad Idris, penulis menyimpulkan mereka pada dasarnya ialah nasionalis dan bukan komunis, dan mereka berjuang bersama-sama dengan komunis masih lagi dalam konteks perjuangan untuk mencapai kemerekaan.
Rujukan
Abdul Samad Idris. 1982. 25 Tahun Merdeka. Kuala Lumpur : Penerbitan Pustaka
Budiman.
Ahmad Boestamam. 1972. Merintis Jalan ke Puncak. Kuala Lumpur : Pustaka Kejora.
Aishah Ghani. 1992. Memoir Seorang Pejuang. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Cheah Boon Kheng. 1979. The Masked Comrades: A Study of the Communist Front
1945-48. Singapore : Times Book International.
Insun Sony Mustapha. 1999. Memoir Mustapha Hussain. Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Means, G.P. 1970. Malaysian Politics. New York : New York University Press.
Mohamed Salleh Lamry. 2005. Pejuang Kemerdekaan yang Dilupakan: Kisah dari
Jenderam. Kertas kerja tambahan untuk Seminar Sejarah Daerah Kuala Langat.
Banting: 29 Januari.
Mohamed Salleh Lamry. 2006. Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan.
Bangi: Penerbit Unviersiti Kebangsaan Malaysia .
Mohamed Salleh Lamry. 2006. Gerakan dan Tokoh Kiri. Petaling Jaya: SIRD.
Mohamed Salleh Lamry. 2007. Pengaruh Indonesia dan Gerakan Nasionalis Kiri Melayu:
Kajian Kes di Kampung Jenderam. Dalam Armida S.Alisjahbana, Ramlan Panigoro
dan Parikesit (Pnyt..) Indonesia dan Malaysia dalam Era Globalisasi dan
Desentralisasi Mewujudkan Kemakmuran Bersama. Buku 2. Bandung : Universitas
Padjadjaran.
Mohamed Salleh Lamry. Pengaruh Indonesia dan Gerakan Nasionalis Kiri Melayu:
Kajian Kes di Kampung Jenderam. 2007/2008. Malawati. Bil.7.
Mohd.Nor bin Mohd.Amin. 1977/78. Jenderam: Korban Darurat 1948-1958. Tesis B.A
Universiti Malaya.
Ramlah Adam. 2004. Gerakan Radikalisme di Malaysia (1938-1965). Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Roff, W.R. 1974. The Origins of Malay Nationalism. Kuala Lumpur : Penerbit Universiti
Shamsiah Fakeh. 2004. Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejiman Ke-10. Bangi:
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia .
Stockwell, A.J. 1979. British Policy and Malay Politics During the Malayan Union
Experiment, 1942-1948. Kuala Lumpur : MBRAS.
-----------------
* Kertas kerja untuk Seminar Sejarah Daerah Hulu Langat, Shah Alam, 22 Disember 2009.
** Mantan Prof. Madya di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti
Kebangsaan Malaysia .
Ulasan