CERITA SURIANI BERKENAAN PENYAMUN KUOMINTANG

Apabila saya mengetahui Ai-ke akan pergi berunding dengan puak penyamun itu, saya meminta izin kepadanya untuk ikut sama dalam regunya. Entah mengapa saya merasa ingin melihat bagaimana rupanya puak penyamun yang sangat ditakuti massa itu. Permintaan saya dipersetujui dengan cara saya menyamar sebagai setiausaha Ai Ke. Beliau membawa saya dan pengawalnya ke suatu tempat yang dijanjikan untuk mengadakan perundingan dengan puak penyamun.
Chung Ai-ke pandai menghadapi penyamun. Dengan gayanya yang tersendiri dia mengemukakan syarat-syarat kepada penyamun. Puak-puak penyamun itu tunduk mengalah di hadapannya. Antara syarat-syarat yang dikemukakannya ialah tidak membenarkan mereka masuk kampung merompak, mengutip cukai atau derma atau meminta harta benda massa. Semua belanja makan dan lain-lain untuk mereka akan ditanggung oleh pihak Tentera Anti-Jepun. Tapi mereka haruslah membenarkan pihak Tentera Anti-Jepun menghantar seorang Wakil Parti duduk di pasukan mereka. Kepala penyamun itu terpaksa menerima syarat-syarat tersebut kerana takutkan kekuatan dan kewibawaan Tentera Anti-Jepun. Setelah berunding, setiap bulan kader Melayu Abdullah C.D. yang bertanggungjawab memimpin lasykar rakyat di kawasan itu membawa satu guni (guni beras) wang untuk kegunaan mereka.
Pada mulanya, puak penyamun itu mematuhi syarat-syarat yang diberikan, tetapi kemudiannya, mereka membelakangi perjanjian, merompak harta benda orang ramai dan mencabul kepentingan orang ramai. Akhirnya pihak Tentera Anti-Jepun terpaksa mengambil tindakan menyelesaikan mereka secara kekerasan, sebahagian besar daripada mereka itu telah dihapuskan, manakala sisa-sisanya melarikan diri ke tempat lain.
Ulasan