Mustapha Hussein, Berjuang Untuk Kemerdekaan Tanah Air

Ketika berceramah kepada para perajurit tentang gerakan kemerdekaan Malaya, Abdullah C.D. dan Rashid Maidin (Allahyarham) sentiasa menyebut peranan penting yang dimainkan KMM di bawah pimpinan Ibrahim Hj. Yaacob, Mustapha Hussein, Dr. Burhanuddin dan lain-lain.
Dalam memoir edisi pertama, Abdullah C.D. memberikan penilaian sebagai tokoh nasional yang besar kepada Mustapha Hussein. Di sini saya petik tulisan beliau yang diberi tajuk:
Mustapha Hussein – Tokoh Nasional yang Besar
Mustapha Hussein adalah tokoh pejuang kemerdekaan yang besar. Seumur hidup beliau dicurahkan untuk cita-cita yang murni - kemerdekaan nusa, bangsa dan agama. Ketika menganggotai KMM dulu, saya tidak berpeluang bertemu dengannya, hanya mendengar namanya sahaja sebagai Naib Ketua KMM. Setelah Jepun menyerah diri beliau dipenjarakan oleh penjajah British. Saya berpeluang bertemu dengannya apabila dia keluar dari penjara.
Walaupun beliau keluar penjara dengan syarat-syarat yang ketat dikenakan oleh kerajaan penjajah, tetapi semangat memperjuangkan kemerdekaan tetap berkobar-kobar. Sebaik sahaja keluar dari penjara, beliau mendapat pekerjaan dengan sebuah syarikat insurans Amerika. Di samping itu beliau selalu pergi ke pejabat PKMM. Beliau tahu gerakan PKMM sebagai lanjutan daripada KMM yang beliau sendiri ikut serta dan menubuhkannya. Beliau juga menemui kawan-kawan seperjuangan lama seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhamad.
Disebabkan beliau baru sahaja keluar penjara dan di dalam perhatian intelijen British, maka dia tidak dapat bergerak secara bebas. Akan tetapi beliau menawarkan dirinya sebagai penasihat kepada Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan pekerjaan ini dilakukannya dengan baik. Beliau turut memberikan idea-idea yang amat bernilai bagi perjuangan kemerdekaan. Kehadiran Mustapha Hussein bersama PKMM dirahsiakan, hanya beberapa orang sahaja yang mengetahuinya.
Dalam masa ini juga saya bertemu dengan Mustapha Hussein. Walaupun inilah pertama kali saya bertemu dengannya, tetapi kami telah lama bersatu dalam cita-cita sejak dari zaman KMM dulu, walaupun cara kami terdapat perbezaan.
Kedudukan saya sebagai wakil PKM yang terbuka lebih diperhatikan oleh intelijen British. Untuk mengelakkan pertemuan kami diketahui oleh mereka, saya menyediakan satu bilik khas di belakang pejabat PKM untuk bertemu dan berbincang dengan beliau. Ini saya urus sendiri, tidak siapa pun yang mengetahuinya.
Mengambil peluang ini Mustapha Hussein membaca buku sejarah dan buku teori, lebih-lebih teori tentang revolusi antiimperialisme dan kemerdekaan tanah air. Buku-buku yang saya bawa pulang dari
Dia pernah menyatakan pendapatnya tentang melancarkan revolusi untuk kemerdekaan
Apabila diisytiharkan Undang-undang Darurat, beliau tidak ditangkap oleh penjajah. Dari Rejimen Ke-10 saya menghantar orang bawah tanah menghubungi beliau. Saya mencadangkan supaya beliau menyertai UMNO kerana UMNO juga satu kekuatan untuk perjuangan menuntut kemerdekaan di mana ramai orang yang cintakan kemerdekaan tanah air bergabung di dalamnya. Setelah itu ramai kawan PKMM masuk UMNO, dan wajah UMNO mulai dilanda perubahan mendadak ke arah perjuangan untuk kemerdekaan. Mustapha Hussein pernah bertanding melawan Tunku Abdul Rahman merebut jawatan pucuk pimpinan UMNO untuk menggantikan tempat Dato’ Onn Jaafar, tapi beliau dikalahkan.
Malangnya, hubungan saya dan Mustapha Hussein terputus apabila Rejimen Ke-10 bergerak ke utara ke kawasan sempadan Malaya-Thai pada tahun 1953. Mustapha meninggal dunia pada 15 Januari 1987 ketika berusia 77 tahun.
Majalah Suluh Rakyat Bilangan 27, Julai - Ogos 1987 - ihsan Muzium Sejarah, Kampung Perdamaian Sukhirin
Ulasan
saya sarankan untuk membaca biografi Almarhum yang disusun oleh puterinya Insun Mustapha dan Dr.Jomo K Sundram.banyak fakta-fakta historis seputar gerakan nasionalisme Melayu dari tertubuhnya KMM hinggalah kemutakhir disampinmg pandangan Almarhum terhadap IBHY.
Mustapha Hussein orang pertama menuntut kemerdekaan daripada tentera Jepun. Mustafa menyebut KMM ertinya Kesatuan Malaya Merdeka. Kerana itulah KMM diharamkan.